ARTIKEL

Kelazatannya sehingga menjilat jari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BUAT pencinta makanan dan inginkan kelainan, Vietnam Roll merupakan antara hidangan diet yang perlu dicuba kerana kelazatannya dijamin sehingga menjilat jari.

Malah, pengolahannya sangat kreatif, teliti dan memikat sesiapa sahaja yang memandang.

Ia juga amat sesuai dimakan bersama-sama keluarga tersayang, sama ada pagi, petang dan malam.

Justeru, tidak hairanlah Vietnam Roll menjadi makanan popular dan pernah tular di Malaysia hingga kini.

Anak kelahiran Johor yang membesar di Sarawak, Nurul Natasha Teruna, 27, menjadikan hidangan ini sebagai sumber pendapatan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan terjejas termasuk saya sekeluarga.

“Oleh itu, saya memulakan perniagaan ini untuk membantu suami menambah pendapatan untuk keluarga kecil saya,” kata Natasha semasa ditemu bual Suara Sarawak.

Menariknya, beliau membuat sos hidangan ini dengan cara tersendiri dengan gabungan bahan istimewa untuk dicicah dengan Vietnam Roll.

“Sos Vietnam Roll sangat istimewa kerana ia lain daripada yang lain. Setakat ini, kawasan Kuching belum ada lagi peniaga yang membuat sos tersebut.

“Alhamdulillah, Vietnam Roll saya menepati cita rasa orang Sarawak dan ramai yang suka hasil air tangan saya,” jelasnya. Vietnam Roll ini dijual dengan harga yang berpatutan iaitu RM10 hingga RM12.

Bercerita tentang perjalanan perniagaan, Natasha mendedahkan, beliau mula dikenali ramai kerana sos yang disediakan.

“Ramai pelanggan bertanya tentang pengolahan sos saya kerana rasanya yang berbeza.

“Saya berasa gembira kerana semakin ramai mengenali saya kerana sos ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kepuasan pelanggan adalah pegangan utama dan amat penting untuk Natasha semasa berniaga.

“Jika pelanggan berpuas hati dan suka, saya pun bersyukur dan berpuas hati.

“Sekarang modal saya sebulan dianggarkan sekitar RM1,500 hingga RM1,800 kerana semakin banyak tempahan, semakin bertambah modal yang diperlukan,” ujarnya.

Mengenai cabaran yang dihadapi, Natasha menjelaskan, kesabaran tinggi yang perlu ditanam dalam diri.

“Membuat Vietnam Roll ini sangat memerlukan kesabaran lebih-lebih lagi semua proses pembuatan dan penghantarannya saya buat seorang diri.

“Pada masa yang sama saya juga mempunyai seorang anak yang masih kecil,” ujarnya.

Selain itu, Natasha berkata, beliau pernah kehilangan wang modal untuk membuat Vietnam Roll.

Namun, beliau berusaha mencari inisiatif untuk mengumpul semula modal tersebut kerana tidak ingin menghampakan permintaan pelanggan.

“Saya sudah ada anak, jadi saya perlu bangkit dan terus berusaha agar dapat membanggakan suami, ibu, ayah dan keluarga.

“Saya selalu berpesan pada diri sendiri untuk terus senyum dan berusaha walaupun pelbagai halangan dan dugaan yang datang,” katanya.

Tambahnya lagi, Natasha berharap perniagaannya boleh berkembang maju dan sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.

“Kepada peniaga yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, saya nasihatkan agar tidak mudah berputus asa walaupun pelbagai halangan yang datang.

“Semua ini akan mengajar kita untuk menjadi seorang yang kuat dan terus bersemangat dalam apa-apa jua keadaan,” katanya.

Bagi sesiapa yang berminat dengan resipi diet Vietnam Roll, boleh hubungi Nurul Natasha melalui WhatsApp 011-23282260.

Perniagaannya beroperasi pada Isnin hingga Sabtu dan pelanggan perlu menempah awal sehari, kerana semua Vietnam Roll dibuat berdasarkan jumlah tempahan sahaja.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU