Kelonggaran PKPP di Sibu ditarik balik berkuat kuasa tengah malam semalam

SIBU: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Bahagian Sibu Charles Siaw mengumumkan bahawa segala kelonggaran PKPP sebelum ini akan ditarik balik berikutan Sibu bertukar menjadi zon merah, hari ini.
Ia katanya adalah berkaitan dengan penghimpunan ramai, majlis tertentu dan sebagainya yang sebelum ini telah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
“Sebarang kelulusan untuk mengadakan apa-apa acara atau program perhimpunan awam yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu sebelum ini ditarik balik dengan serta merta,” tambah beliau.
Dengan bertukarnya Sibu dari zon kuning ke merah hari ini telah mengejutkan ramai masyarakat di sini.
Paling cepat mengambil tindakan berikutan berita itu adalah pihak pengurusan gereja Katolik Sibu yang membatalkan upacara sembahyang missa bermula esok (Ahad).
Bishop Gereja Katolik Sibu Right Reverend Joseph Hii telah menangguhkan semua aktiviti di Gereja Katolik Sacred Heart bermula hari ini selama tiga hari hingga 12 Januari.
Hii dalam satu kenyataannya hari ini berkata, ini adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga pihak gereja apabila seramai 37 kes positif Covid-19 baharu yang dicatatkan di Sibu hari ini.
Beliau mengatakan tiada sembahyang missa pada hujung minggu ini juga.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami memutuskan untuk menangguhkan semua aktiviti di gereja mulai hari ini hingga 12 Januari. Selepas itu, kami akan memutuskan apa langkah seterusnya yang harus diambil, bergantung pada keadaan,” jelas beliau.
Pejabat Residen Sibu hari ini telah mengadakan sidang media untuk mengumumkan kewujudan kes baharu positif Covid-19 di Sibu.
Siaw yang juga Residen Bahagian Sibu berkata, kes Covid-19 dikesan melalui hasil pemeriksaan seorang wanita yang kembali ke rumah panjangnya di Rumah Langi Ambau dari Johor pada 29 Disember.
Beliau juga mengatakan bahawa semua lapan rumah panjang di Pasai Siong dan kawasan sekitarnya akan disekat pergerakannya selama 14 hari.
Lapan rumah panjang itu ialah Rumah Jelian Nayor, Rumah Ringgit Unchu, Rumah Langi Ambau, Rumah Pom Maja, Rumah Nyanggai Alok, Rumah Jeram Empin, Rumah Kelly Chundau dan Rumah Nyambong Ajon.
Dengan zon merah sudah pasti ia akan merencatkan sedikit pergerakan dan ekonomi di Sibu apabila waktu sekarang adalah musim buah.
Pasar Sentral Sibu yang menjadi tumpuan kepada penggemar buah mungkin akan disekat.
Bagaimanapun sebarang tindakan sama ada PKP atau ‘lockdown’ bagi Sibu belum diketahui lagi apakah tindakan selepas ini.