KUCHING: Kebenaran bekerja atau memasuki mana-mana premis perniagaan di Sarawak bagi individu yang telah lengkap dos vaksin Covid-19 adalah tidak melanggar hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS), perbezaan atau klasifikasi ini dibenarkan dalam undang-undang bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit.
“Tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa dasar Kerajaan Sarawak menimbulkan diskriminasi yang menyalahi undang-undang kerana membawa kepada dua bentuk kelas masyarakat iaitu divaksin dan tidak divaksin.
“Bagaimanapun, tuduhan itu adalah tidak berasas kerana undang-undang mengizinkan membuat klasifikasi memandangkan peningkatan kes Covid-19 semakin membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Jelasnya, ia menandakan bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang mementingkan kesihatan orang awam secara keseluruhannya mengurangkan beban kemudahan kesihatan semakin meruncingkan.
Tegas kenyataan itu, pengumuman tersebut tidak melucut atau menolak hak asasi individu yang tidak divaksin kerana mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara terus ke mana-mana pusat vaksinasi di seluruh negeri.
“Tambahan pula, 86.3 peratus penduduk dewasa di Sarawak telah divaksin penuh dalam tempoh kurang dari dua atau tiga bulan.
“Oleh hal demikian, pengumuman kerajaan adalah sah dan berpelembagaan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sarawak,” tegasnya.