Keluarga berdoa agar ATM tidak henti pencarian

KUCHING: Menteri Kerja Raya Baru Bian, yang bercakap bagi pihak dua anggota tentera yang hilang semasa bertugas di Pulau Perak, Kedah, pada 20 Julai lepas, Kpl David Edmund Rapi dan Lans Kpl Moses Logers, menggesa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya meneruskan usaha untuk mencari mereka.

Bercakap dalam persidangan media bersama anggota keluarga anggota tentera berkenaan di Bilik Orang Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini, beliau berkata mereka masih berharap dan berdoa agar ATM tidak menghentikan pencarian.

Baru berkata walaupun perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya, beliau akan terus memberikan bantuan penuh kepada keluarga dua anggota tentera berkenaan.

Pada 20 Julai lepas, dua anggota ATM dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis itu dilapor hilang ketika bertugas di kawasan operasi Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah, dan ATM dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan selepas tiada petunjuk baru ditemui. – Bernama