BACHOK: Dua keluarga mangsa bot terbalik di perairan Kemasin di sini malam tadi reda dengan kejadian dan berharap anggota keluarga mereka yang masih hilang dapat ditemui dalam operasi pencarian hari ini.
Daniah Deraman, 62, dari Kampung Pangkalan Pasir, Pasir Mas berharap agar anak lelakinya, Abad Syafiq Che Alim, 29, ditemui dalam keadaan apa sekalipun.
Beliau berkata, kejadian hanya diketahui pada pukul 1.00 pagi ini dan tidak menyangka ia membabitkan anaknya dalam kejadian itu.
“Sebelum dia bertolak, saya memang sudah melarang kerana bimbang kerana ini adalah kali pertama dia pergi ke laut.
“Bagaimanapun, dia bersungguh-sungguh mahu pergi dengan alasan mahu mencari pengalaman baru. Ketika mahu bertolak ayahnya memberi tambang bot sebanyak RM100 dan saya hanya melihatnya bersama rakan menaiki motosikal,” katanya ketika ditemui di Jeti Pengkalan Kuala Kemasin di sini, hari ini.
Katanya, Ahmad Syafiq sebelum ini belajar di sebuah pondok di Dabong, Kuala Krai dan pulang ke rumah pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
“Harapan saya walau apapun saya berharap anak saya ditemui dan saya redha,” katanya.
Sementara itu, Rosniwati Abdullah, 50, turut berharap agar suaminya, Harun Daud, 57, turut ditemui sama ada selamat ataupun tidak.
Katanya, ini adalah kali kedua suaminya keluar memancing di laut dan sebelum ini hanya keluar memancing bersama rakan-rakannya di kawasan sungai.
“Saya hanya tahu kejadian ini pada pukul 12.45 tengah malam tadi dan terus datang ke Kemarin pagi ini untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Apa yang saya tahu suami saya keluar ke laut menaiki bot bersama sanak saudara dan jiran sekampung. Dia hanya keluar membawa pakaian kerana semua peralatan lain sudah dibawa oleh anak saudara dan saya hanya sempat membekalkan biskut untuknya makan,” katanya yang menetap di Kampung Padang Tok La, Pasir Mas.
Rosniwati berkata, suami sebenarnya tidak pandai berenang apatah lagi di lautan yang berombak besar.
— BERNAMA