Keluarga mohon turut serta misi pencarian

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membantu waris sah anggota tentera negeri ini yang hilang di kawasan operasi di Pulau Perak, Kedah pada 20 Julai lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, bantuan terbabit adalah segi logistik superit penerbangan dan penginapan.

“Kita akan menerbangkan waris sah kedua-dua anggota tentera terbabit ke Langkawi dan tinggal di Rumah Sarawak di Kuala Lumpur selepas mendapat satu tarikh daripada Kementerian Pertahanan (Mindef).

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai satu sokongan moral kepada dua keluarga Lans Korporal Moses Logers dan Koperal David Edmund Rapi,” katanya pada satu sidang media di sini semalam.

Turut serta dalam sidang media terbabit ialah abang Moses iaitu Thony Hilo Logers, 34 dan James Mathew Logers, 31 serta abang David, Morni Edmund Rapi.

Kata Fatimah, permintaan waris dua anggota berkenaan untuk berjumpa dengan pihak bertanggungjawab termasuk menyertai usaha pencarian turut disampaikan menerusi surat.

“Bagaimanapun, kita perlu mendapat kebenaran yang sewajarnya daripada pihak Mindef kerana lokasi kehilangan mereka adalah kawasan keselamatan,” ujarnya.

Terdahulu, ahli keluarga Moses dan David melahirkan rasa kecewa terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak memberi kerjasama dan maklumat terkini mengenai kehilangan mereka.

Bagaimanapun, dalam kenyataan balas, ATM memberitahu pelbagai usaha dilakukan dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) OP Carilamat yang diaktifkan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sebagai agensi peneraju sejak hari pertama kedua-dua anggota itu hilang.

Turut serta ialah pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Terdahulu, kapal TLDM masih berada di KOM sekitar Pulau Perak melaksanakan rondaan maritim dan diarah melaporkan segera jika terdapat sebarang petunjuk baharu.

Manakala sebuah helikopter TUDM juga sentiasa diletakkan di bawah siap sedia untuk diatur gerak dari Pangkalan Udara Butterworth pada bila-bila masa.

Kedua-duanya merupakan anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis. Ketiadaan anggota dikesan pada lewat malam 19 Julai ketika ketua penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan.