
KUCHING: Calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kelvin Yii Lee Wuen masih mempertahankan Parlimen Bandar Kuching dengan majoriti 28,891 undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.
Kelvin Yii menewaskan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tay Tze Kok dan Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK/PSB) Voon Lee Shan dengan memperoleh sebanyak 45,353 undi.
Sementara itu, Tze Kok (GPS) memperoleh 16,462 undi manakala Lee Shan (PBK/PSB) hanya memperoleh 1,760 undi dan hilang deposit di kawasan tersebut.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Bandar Kuching Zainab Marzali di Dewan Masyarakat Jalan Padungan sekitar jam 11 malam tadi.
Sebanyak 301 undi telah ditolak.
Berdasarkan keputusan itu terdapat 58.40 peratus daripada 109,710 pengundi berdaftar keluar memilih pada PRU-15 di kawasan ini.
Kemenangan ini, sekaligus menjadikan Kelvin Yii berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen Bandar Kuching bagi penggal kedua.
Pada PRU-14, Kelvin Yii berjaya memperoleh 48,548 undi dengan majoriti 35,973 undi.
Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Kho Teck Wan yang hanya mendapat 12,575 undi.



