KUCHING: Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) julung kalinya memperkenalkan program ‘Kem Sape 2023’ yang akan berlangsung selama empat empat hari bermula 19 hingga 22 Jun ini di empat lokasi berbeza di Kuching.
Acara disertai seramai 15 peserta belia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak itu bertempat di Hotel Limetree pada hari pertama dan kedua program.
Seterusnya hari ketiga di rumah inap Lan E Tayang sebelum acara kemuncak berlangsung di Muzium Budaya Borneo dan di GoDown Amphithitheatre Tebingan Kuching.
Ketua Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak Datuk Aloysius J Dris berkata, usaha penganjuran program bertujuan menarik minat serta memberi pendedahan yang lebih mendalam kepada para peminat muzik khususnya golongan muda.
“Selepas tamat pengajian ini mereka akan menjadi ‘duta Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) Sape’ yang mempunyai matlamat untuk menjadikan Sape sebagai pilihan muzik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai program di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Program turut melibatkan beberapa pemuzik profesional tempatan termasuk lagenda Sape, Mathhew Ngau, Komposer Narawi Rashidi, Maestro Sape Sarawak Jerry Kamit dan pakar kajian Akedemi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Connie Lim.
Sekali gus memberi peluang pendedahan secara mendalam kepada para peserta dalam mengenal serta mempelajari muzik Sape.