Trending

Kemahiran penting tapi sikap lebih utama

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Jika anda mencari pekerja, adakah anda lebih memilih kemahiran atau sikap?

Apakah yang lebih diperlukan dalam menentukan kriteria pekerja?

Ia merupakan perkara penting yang mampu mempengaruhi rentak bekerja.

Baru-baru ini, saya kehilangan rakan sekerja — Syamel.

Dia mengambil keputusan berhenti kerja bagi melanjutkan pelajaran. 

Jika dalam carta organisasi, Syamel merupakan staf bawahan saya, namun saya tidak pernah menganggapnya sebagai pekerja bawahan. 

Mungkin kerana lebih selesa menggangapnya sebagai rakan kerana kami sering berkongsi idea dan ilmu.

Dari segi usianya masih muda — 18 tahun.

Mula menyertai syarikat ini di Unit Online dan Video Suara Sarawak selama tiga bulan sebagai pelatih industri.

Namun, selepas menamatkan latihan, dia ditawarkan jawatan sebagai pencipta kandungan untuk percubaan.

KOMITED

Ternyata dia memandang serius tugas dan tanggungjawab yang diberikan dan dipikul dengan sebaiknya, melakukan setiap tugasan dengan gigih, rendah diri serta sabar.

Senang bekerja dengannya, memahami arahan serta mudah untuk bekerjasama walaupun usianya muda, namun dia matang.

Hasil kerjanya dalam mencipta kandungan digital semakin hari semakin baik.

Walaupun dengan sedikit maklumat atau bahan, dia mampu melakukan improvisasi menjadikan kandungan lebih menarik dan kreatif.

Tugasnya sebagai jurukamera dan menyunting video, kadangkala saya minta dia untuk melakukan transkrip daripada hasil temu bual yang diadakan. 

Syamel bertanggungjawab menjaga peralatan siaran seperti kamera, mikrofon, pencahayaan bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik. 

Sehingga suatu saat syarikat membeli dron dan Syamel individu yang tahu mengendalikannya. 

Secara teknikal, dia memudahkan kumpulan video dan digital yang diwujudkan di Suara Sarawak.

Selepas sekian lama bekerjasama dalam satu pasukan, dia mengambil keputusan meletak jawatan.

Tidak dinafikan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan.

Namun, perpisahan ini adalah untuk kebaikan bagi mencapai cita-cita.

Seperti remaja lain, pasti mempunyai keinginan untuk naik taraf kehidupan diri, kerjaya dan pendidikan demi masa depan yang lebih terjamin.

Realitinya sukar kumpulan kami menerima.

Kehilangan memang dirasai, hakikat itu harus diterima dan kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan dan keberhasilan serta momentum Unit Video dan Digital Suara Sarawak.

BELAJAR DAN KUASAI

Kisah Syamel ini boleh menjadi inspirasi kepada golongan belia di luar sana, bahawa semua orang boleh berpelajaran tinggi, kemahiran boleh diasah, namun sikap sepertinya mungkin sukar ditemui.

Walaupun bermula sebagai pelatih industri bukan dari latar belakang berkaitan, namun Syamel berjaya membuktikan dia boleh belajar dan menguasai ilmu dalam kandungan digital serta mampu berdiri setanding penggiat yang berpengalaman. 

Keluar dari zon selesa, masih mahu menimba ilmu dan sanggup berjauhan dari keluarga, juga salah satu kisah inspirasi yang tidak semua boleh lakukan. 

Berbalik kepada persoalan, dapat saya rungkaikan walaupun pekerja berbakat mungkin mempunyai keupayaan untuk belajar kemahiran baharu dengan mudah, ini tidak bermakna mereka sentiasa berusaha. 

Individu sederhana, tetapi mempunyai kesanggupan untuk bekerja keras, boleh peroleh kemahiran yang cemerlang melalui usaha dan keazaman. 

Perbezaan antara dua calon itu ialah sikap. 

Namun, jika seseorang itu mempunyai kedua-dua ciri tersebut, kemahiran dan sikap yang baik maka tidak hairan seseorang itu menjadi individu cermerlang dalam bidang yang diceburinya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru