KUCHING: Sarawak kini mencapai kemajuan vaksinasi setaraf dengan negara-negara maju seperti United Kingdom (UK), Singapura dan Australia. Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, dalam tempoh 30 Jun hingga 30 Julai, Sarawak berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 36.4 peratus penduduk sudah divaksin sepenuhnya.
“Inilah semangat solidariti Sarawak dan bersatu berperang menentang Covid-19. “Walaupun kami berasal dari ‘hutan Borneo’ dengan sumber manusia yang terhad, kami dapat bersama-sama dengan usaha luar biasa dan kerja berpasukan untuk menyelamatkan hidup.
“Terima kasih, semua orang telah memainkan peranan untuk pencapaian ini dan mengelakkan rakyat Sarawak menderita akibat kekurangan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital, oksigen dan kematian,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu menegaskan, setiap orang harus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan langkah pencegahan Covid-19. “Pasport vaksinasi (dua dos) tidak sama dengan pasport imuniti (antibodi).
“Oleh kerana kita perlu hidup dengan virus, walaupun setelah divaksin, kita masih perlu mengikuti SOP dan mengamalkan langkah pencegahan. “Mari kita semua memainkan peranan dalam memerangi Covid-19,” katanya.
Menurut Kui Hian, merujuk data Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Sarawak pada 30 Jun lepas mencatatkan 8.9 peratus vaksinasi sepenuhnya dan pada 30 Julai lalu, kadar vaksinasi sepenuhnya mencapai 45.3 peratus.
Dibandingkan dengan UK dan Singapura, kadar vaksinasi sepenuhnya bagi kedua-dua negara itu pada 30 Julai ialah 56 peratus. Manakala Malaysia mencapai 19.9 peratus vaksinasi sepenuhnya.