Kemaruk cinta jejaka tampan, ramai wanita berusia menjadi mangsa ‘Love Scam’

KUCHING: Gambar profil lelaki tampan selain pujuk rayu dan kata-kata manis yang digunakan sindiket ‘Love Scam’ berjaya mencairkan hati ramai wanita di Sarawak, yang akhirnya menjahanamkan wang simpanan mereka.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, wanita yang cenderung menjadi mangsa penipuan cinta dalam laman sosial itu adalah golongan berusia, lebih-lebih lagi dalam lingkungan 50 dan 60-an.

Malah, katanya terdapat juga wanita yang berpendidikan tinggi serta bekerjaya seperti peguam, doktor dan guru termasuk yang bergelar isteri orang turut menjadi mangsa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan wanita supaya sentiasa berwaspada agar tidak mudah terpukau oleh sindiket ‘Love Scam’ yang sentiasa menyasarkan mereka, terutama golongan yang sudah berusia kerana mempunyai harta serta wang yang banyak.

“Sebagai wanita, kita harus berhati-hati dan sentiasa berasa was-was dengan lamaran jejaka tampan dalam laman sosial terutama Facebook supaya tidak menjadi mangsa ‘Love Scam’.

Moliza (kiri) menunjukkan statistik kes ‘Love Scam’ kepada Fatimah (tiga kiri) dan Rosey (dua kiri) sambil disaksikan oleh Francis (dua kanan) dan Sahar (kanan).

“Bukan senang mencari dan mengumpul duit untuk simpanan hari tua atau pendidikan anak-anak, tetapi bila dicairkan oleh pujuk rayu gambar jejaka tampan, lesap semua duit itu.

“Jangan kerana cinta dalam laman sosial ini menjadikan kita hilang wang simpanan, harta dan hubungan kekeluargaan musnah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Menangani Masalah Isu Dadah dan Substance serta Love Scam di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Fatimah berkata adalah sukar untuk membanteras jenayah ‘Love Scam’ jika golongan wanita tidak mempunyai kesedaran mengenainya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk ketua masyarakat untuk menyebarkan maklumat di kawasan masing-masing bagi mewujudkan kesedaran tentang ‘Love Scam’.