ARTIKEL

Allahyarham Ebrahim Raisi. | Foto: Majid Saeedi

Kematian Raisi, Amirabdollahian, kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi, dan Menteri Luarnya, Dr Hossein Amirabdollahian, dalam nahas helikopter semalam merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat negara Iran, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menzahirkan rasa dukacita dengan berita pemergian Raisi, Amirabdollahian serta penumpang lain dalam nahas helikopter itu yang terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Allahyarham Dr Hossein Amirabdollahian. | Foto: Vahid Salemi

Mohamad berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Amirabdollahian ialah semasa Debat Terbuka Peringkat Menteri Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Januari lepas dan dalam perbualan telefon bersamanya pada hujung April lalu.

“Allahyarham begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran di dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

“Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran,” katanya dalam hantaran di platform X.

“Doa saya agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” tambahnya.

Raisi dilaporkan sedang dalam penerbangan pulang daripada satu majlis perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan.

Selain Raisi dan Amirabdollahian, Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati, Imam Solat Jumaat Bandar Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem, dan beberapa individu lain juga dilaporkan berada di dalam helikopter terbabit. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU