Kembali ke kampus

KUCHING: Seramai 863 pelajar Politeknik Kuching Sarawak (PKS) kembali ke kampus dengan mendaftar di kolej kediaman masing-masing bagi kemasukan Fasa 1 Sesi Disember 2020 yang bermula 20 Mac.

Pengarah PKS Jamaliah Ahmad berkata, semua pelajar tersebut akan menjalani kuarantin wajib dan pengasingan di kolej kediaman masing-masing sebelum boleh mengikuti pembelajaran secara teori dan praktikal.

Katanya, pelajar akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu dari Sarawak dan dari Semenanjung, Sabah dan Labuan. “Bagi pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, mereka akan dikuarantin wajib selama 14 hari dan perlu menjalani ujian calitan, manakala pelajar dari dalam Sarawak akan menjalani pengasingan selama 10 hari,” katanya ketika ditemu bual ketika lawatan ke pusat pendaftaran pelajar pada Sabtu.

Tambah Jamaliah, PKS juga berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak kerana menanggung kos makan dan minum pelajar yang menjalani kuarantin wajib fasa satu ini. Kata Jamaliah lagi, kemasukan pelajar ke PKS adalah secara berfasa dan akan tamat pada 15 Mei depan.

SEKITAR suasana pendaftaran pelajar bagi kemasukan fasa satu sesi Disember 2020 di Politeknik Kuching

Kemasukan pelajar kali ini melibatkan pelajar semester satu hingga lima dalam pelbagai pengajian diploma bagi Sesi Disember 2020.

Pelajar yang terlibat adalah pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Petrokimia, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Jabatan Perdagangan.

Antara program pengajian diploma yang terlibat adalah Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DKM), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) DAD, Diploma Teknologi Petrokimia (DTP), Diploma Kejuruteteraan Mekanikal (Penyaman Udara dan Penyejukbekuan) DPU, Diploma Geomatik (DGU) dan Diploma Perkhidmatan Bangunan (DPB).

Semasa sesi pendaftaran tersebut, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup separuh muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman telah diwajibkan kepada kakitangan PKS dan pelajar. Pendaftaran tersebut bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang di tempat letak kereta PKS. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Mohamad Khirudin Amdan.

Suara Sarawak