Kembali ke pangkal jalan

LAPAN tahun yang lalu (sekitar 2013) saya pernah mengajukan soalan mengenai “perbandingan pembangunan bola sepak di Malaysia dan Belanda” kepada Robert Alberts yang ketika itu jurulatih pasukan Sarawak. Dengan selamba, jurulatih berbangsa Belanda itu, memberikan jawapan yang agak mengejutkan!

“Tiada istilah perbandingan, kerana ia tidak boleh dibandingkan… terlalu jauh,” tegas beliau.

Sebagai orang yang pernah menjawat jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), beliau cukup layak untuk bercakap tentang pembangunan bola sepak di Sarawak mahupun Malaysia.

Pernah mengemudi pasukan Kedah pada 1992-1995, sebelum menyertai kem FAM dan kemudiannya menabur bakti di Bumi Kenyalang. Pencapaian tertinggi beliau bersama Sarawak ialah menjuarai Liga Perdana 2013, dan ke separuh akhir Piala Malaysia 2013, sepanjang lima musim (2008-2009, 2011-2015).

Beliau yang pernah bersama pasukan Bawah 19 Tahun Korea Selatan pada 2002-2004 dan beberapa tahun bersama kelab elit Indonesia seperti PSM Makassar, Arena Malang, dan terkini Persib Bandung, amat kecewa apabila pelan pembangunannya untuk bola sepak Malaysia tidak dipratikkan.

Antara lain, beliau menjelaskan, pembangunan bola sepak peringkat akar umbi, bukan sekadar mendidik pemain muda seawal usia (10 tahun ke bawah) tentang asas bola sepak, tetapi lebih daripada itu, merangkumi segenap aspek yang berkaitan, yakni, padang latihan, peralatan mahupun pemakanan.

Bagaimana pula dengan pembangunan bola sepak di Sarawak? Yang pasti, sepanjang tiga dekad kebelakangan ini (1990 hingga 2020), pelbagai usaha telah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS). Namun, ia juga bergantung kepada kepemimpinan tertinggi FAS, terutama dari segi kewangan atau tajaan, kerana ia berkait rapat dengan program yang akan dilaksanakan.

Malah ia juga bergantung kepada prestasi pasukan senior, kerana ia amat mempengaruhi urusan lain yang berkaitan pembangunan. Oleh itu, adalah lebih sesuai jika FAS tiada kaitan dengan pasukan senior, atau pasukan utama. Mereka boleh fokus sepenuhnya terhadap aspek pembangunan.

Yang pasti, FAS perlu kembali ke pangkal jalan, kembali kepada asas, dan mengukuhkan faktor asas ini. Misalnya menyemarakkan semula liga tempatan di seluruh bahagian, menambah baik kejohanan peringkat bahagian, serta sentiasa berusaha untuk melahirkan jurulatih pelapis, di semua peringkat.

Liga bahagian perlu diselaraskan, misalnya semua bahagian akan menganjurkan liga yang telah ditetapkan format, dengan penyertaan lapan atau 10 buah pasukan, bergantung kepada sambutan pasukan yang terlibat. Sistem liga penuh ini penting bagi mengelak penyertaan terlalu banyak pasukan.

Misalnya jika kita anjurkan pertandingan secara terbuka, contohnya liga berkumpuan, maka boleh jadi 20 hingga 30 buah pasukan yang bertanding. Semakin banyak pasukan, maka semakin kurang kualiti pertandingan, kita mahu jumlah pasukan yang terhad, tetapi mempunyai kualiti.

Pada masa yang sama, setiap pasukan hendaklah dibimbing oleh jurulatih yang bertauliah, sekurang-kurangnya mempunyai Lesen Pra-C. Oleh itu, adalah wajar untuk membimbing jurulatih ini, sebelum kejohanan bermula. Misalnya melalui kursus atau seminar yang dianjurkan oleh FAS, bagi menambah ilmu kejurulatihan mereka. Kita tidak mahu jurulatih tanpa ilmu membimbing sesebuah pasukan, walaupun ia hanyalah pertandingan di peringkat bahagian. Ini kerana asas bola sepak kita bermula di peringkat ini.

Di samping itu, FAS juga perlu menghidupkan semula kejohanan peringkat umur. Beberapa tahun yang lalu kita mempunyai Kejohanan Piala Datuk Taha (18 Tahun ke Bawah) dan Piala Datuk Taib (21 Tahun ke Bawah) yang disertai semua bahagian di Sarawak. Tetapi kini tidak lagi. Kejohanan peringkat umur ini, akan memudahkan FAS memilih pemain untuk diserapkan ke dalam pasukan Belia dan Piala Presiden. Tidak perlu lagi, memantau atau menjelajah ke seluruh bahagian untuk mencari pemain. Pilih sahaja pemain daripada kejohanan tersebut.

Untuk Piala Sarawak pula, ia perlu mempunyai prestij dan nilai tersendiri, sesuai dengan reputasinya, sebagai kejohanan utama di negeri ini. Ia perlu mempunyai hala tuju, misi dan visi yang jelas… berupaya memberi hasil jangka pendek dan panjang, yakni sebagai pembekal pemain.

Di samping itu, kita juga mempunyai Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) Peringkat Negeri. Ia merupakan satu nilai tambah terhadap pembangunan bola sepak di negeri ini. Oleh itu setiap ahli gabungan FAS hendaklah mempunyai program pembangunan akar umbi.

Jika semua ahli gabungan FAS berfungsi, ditambah dengan program daripada NFDP… maka kita boleh melahirkan lebih ramai pemain berkualiti. Ia akan memudahkan kita untuk memilih kelompok pemain terbaik. Oleh itu, FAS juga perlu mengadakan lebih banyak kejohanan peringkat umur seperti Bawah 15 Tahun, Bawah 16 Tahun atau Bawah 18 Tahun.

Walaupun kita tidak mempunyai kemudahan pusat latihan sehebat Belanda yang mempunyai Sportpark De Toekomst, mahupun Cidade do Galo di Brazil yang diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia, tetapi sudah memadai jika sebahagian besar ahli gabungan FAS mempunyai asas yang kukuh, serta perancangan dan pelan yang betul. Ali gabungan mesti memainkan peranan, kerana segala bakat yang kita ada bermula dari sana. Jadi ia perlu dijaga dan dipantau rapi.

Untuk memajukan bola sepak, ia bukan seperti menanam pokok pisang, yang akan berbuah dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan, tetapi bola sepak memerlukan masa sekurang-kurangnya lima tahun, malah 10 tahun atau lebih daripada itu.

Suara Sarawak