ARTIKEL

GEMBIRA... Dewi bersama-sama dua anak dan ibunya Sheryl Balisia ketika ditemui Suara Sarawak di Kuching, semalam • Foto RAMIDI SUBARI

Kembali ke pangkuan keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PADA 16 Januari bulan lalu, saya diarahkan untuk membuat liputan seorang ibu yang memohon bantuan media untuk membawa anak dan dua cucunya kembali ke Sarawak selepas terkandas hampir empat tahun di negara Filipina.

Tiba di pejabat, saya melihat seorang wanita berbaju kurung bertudung manis duduk sambal tangannya memegang sehelai kertas yang ada gambar anak dan cucunya.

“Saya minta pertolongan media, saya tiada jalan lain.

Anak dan cucu saya harus keluar dari sana.

Tolong bantu saya,” katanya sebaik duduk di hujung kerusi.

Itulah impian besar Sheryl Balisia Cabrera terhadap anaknya Dewi Farisha Fazliman yang tertinggal di sana.

Dengan linangan air mata, suara yang tersekat-sekat di kerongkongnya sambil menarik nafas laju, kami memintanya menghubungi terus anaknya di sana.

Ketika berbicara dengan anaknya, Sheryl memberitahu bahawa dia kini berada di pejabat media untuk perjuangan terakhirnya.

“Sabar, ibu akan berusaha sehabis baik membawa pulang dengan apa-apa cara sekalipun.

Sabar,” katanya dalam bahasa Filipina menyapa dua cucunya.

SELAMAT DATANG… Datuk Seri Fatimah menyambut sendiri kedatangan Dewi dan dua anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, awal pagi semalam. • Foto GHAZALI BUJANG

Sejak laporan khas pertama terbit pada 17 Januari, saya menerima panggilan daripada ketua saya menyatakan, ada bantuan terus ke kedutaan kita di sana dan Dewi serta SIRI AKHIR dua anaknya dikunjungi oleh pegawai-pegawai kedutaan di kediaman di penempatan Taytay Bandar Rizal Manila untuk siasatan menyeluruh.

Hari itu juga saya menerima gambar Dewi dan dua anaknya dengan pegawai kedutaan Malaysia dan terus menghubungi Dewi.

“Benar, kami akan dipindahkan ke kediaman lebih selamat dan keluar dari kawasan Taytay,” katanya dan berkongsi gambar dia dan anak-anak dihantar oleh kejiranan setinggan itu masuk ke dalam kereta yang membawa meraka pergi.

Laporan khas kedua menyusul pada 18 Januari mengenai perpindahan Dewi dan bagaimana media memainkan peranan penting sehingga kisah warga Sarawak ini berakhir di meja rundingan antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Filipina.

Lima hari kemudian, saya diberitahu bahawa kerajaan sedang berunding dokumentasi imigresen, jumlah bayaran penalti kerana tinggal melebihi had dan proses-proses akhir rundingan.

Saya hubungi Dewi dan emaknya untuk khabar terkini dan kisah rundingan kerajaan, Dewi dan ibunya dalam laporan khas ketiga.

Jadi saya terbawa emosi saya sekali ke dalam kisah anak-beranak ini kerana ibunya sanggup bergolok bergadai menghantar duit sebanyak RM150 selang dua hari selama empat tahun.

Saya mengikuti rapat kes Dewi sehingga menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Filipina, menteri yang bertanggungjawab termasuk Persatuan Toleransi dan Kesedaran Sarawak (SOFTAA) yang bertanggungjawab membawa kes ini ke pengetahuan media.

Baca lain  Guna asid benzoik melebihi standard, syarikat mi kuetiau didenda RM3,000

Setiap hari saya kemas kini pergerakan Dewi dengan menghubunginya melalui WhatApps.

Tepat 20 hari selepas ibunya berkongsi dengan kami kisah Dewi, akhirnya semalam Dewi dan dua anaknya meninggal bumi Filipina kembali ke Sarawak secara sah.

Dewi yang terkandas di negara berkenaan bersama-sama dua anaknya untuk melawat datuk yang sakit pada 2019 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 12.00 tengah malam semalam.

Sebaik keluar dari balai ketibaan, mereka disambut penuh emosi oleh ibunya dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Dewi ketika ditemu bual Suara Sarawak semalam bersyukur dapat bersama-sama keluarganya semula setelah sekian lama terpisah.

Terkandas bersama-sama dua anak (berusia tiga tahun dan bayi 10 bulan) bukan sesuatu yang mudah terutama apabila seseorang itu mengalami masalah kewangan.

Berkongsi kisahnya yang terkandas di Filipina selama lebih empat tahun, Dewi memaklumkan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui dalam hidupnya lebih-lebih lagi sebagai ibu tunggal.

Menurutnya, walaupun kawasan tempat tinggalnya agak selamat, ia bukan tempat yang sesuai untuk membesarkan dua anak perempuannya.

Katanya, memandangkan anak-anaknya gemar meneroka, dia sedih kerana ruang kediamannya untuk anak-anaknya berkeliaran terhad kepada .

“Rumah saya kecil, hanya bilik… saya kasihan mereka tidak dapat bermain seperti anak-anak lain.

Apabila sudah kembali ke Sarawak ini, saya harap mereka dapat membesar dengan baik,” katanya.

Oleh sebab dia tidak dapat bekerja menyediakan apaapa sahaja yang dimahukan untuk anak-anaknya mahupun rezekinya, dia hidup dengan wang yang dihantar oleh ibunya setiap dua hari sekali (iaitu kira-kira RM150).

“Wang itu kebanyakannya digunakan untuk membayar sewa rumah, bil dan untuk membeli lampin dan susu anak saya.

Jika ada lebihan duit, saya akan membeli makanan ringan untuk mereka.

“Saya juga beli nasi dan lauk yang siap dimasak untuk kami makan kerana tempat kediaman saya tidak mempunyai tempat masak,” ujarnya.

Dewi mengakui pernah melalui detik perit iaitu tidak cukup wang untuk membeli makanan atau membeli susu anak.

Justeru untuk menyara diri dan anak, dia membantu tukang jahit di kawasan itu dengan menjahit beberapa kain untuk pakaian seragam sekolah.

“Apabila tempahan banyak, saya akan membantu memotong kain kerana saya tidak mempunyai pengalaman lain seperti menjahit.

Baca lain  Pedofilia dikehendaki dunia dipenjara 40 tahun dan 21 sebatan, bakal hadapi pelbagai pertuduhan lain

“Tempahan datang sekali dalam tiga minggu, jadi setiap kali saya membantu, mereka akan membayar saya kira-kira 500 PHP (sekitar RM50).

Ia tidak banyak tetapi lebih baik daripada tiada.

“Saya juga pernah menjual gelang untuk mendapatkan wang semasa terdesak kerana saya tahu yang menjadi keutamaan saya adalah anak saya,” katanya.

Pernah kata Dewi, paling sedih ketika tiada wang, anak-anak pula sakit dan sangat perit baginya membesarkan anak secara sendirian di negara orang.

“Saya sangat bimbang… jika tiada wang untuk beli ubat untuk anak, saya akan guna cara tradisional seperti meletakkan tuala basah di kepala mereka dan sebagainya.

“Sekiranya jiran saya mempunyai ubat lebih untuk anak mereka, saya juga meminta sedikit untuk diberikan kepada anak-anak saya.

Sesusah mana pun rezeki kami, saya sentiasa bersyukur kerana mempunyai jiran yang baik,” katanya.

Dewi memaklumkan, dia lebih rela hidup dalam keadaan perit dan susah asalkan anak-anaknya berada di depan matanya dan sentiasa sihat.

“Sepanjang empat tahun di Manila, saya bersyukur sekurangkurangnya, anak-anak saya ada bersama-sama saya.

“Selain ibu, anak perempuan saya adalah sumber kekuatan saya untuk menjalani kehidupan… saya juga mahu dilihat sebagai ibu yang kuat di hadapan dua anak saya. “

Sebab itu walaupun bimbang dan tertekan, saya sentiasa menunjukkan sisi gembira saya kepada mereka.

Saya tidak mampu untuk menunjukkan kelemahan di depan mereka kerana saya mahu mereka terpengaruh dengan perkara yang baik dan bukannya negatif,” katanya.

Dewi mengaku pernah putus harapan untuk kembali ke Malaysia setelah melihat ibunya sudah mencuba yang terbaik di Kuching dan di Filipina “Ia melukakan hati saya.

Saya pernah beritahu ibu saya, udah lah ma, mun susah gilak, ibohlah balit.

Biar jaklah hidup kedak tok.

Sik pat nak polah apa juak – cukuplah mak, kalau susah untuk kita balik maka kita tinggal di sini saja.

Biarlah kita hidup begini memandangkan tiada banyak yang boleh dilakukan.

“Tetapi ibu saya tidak pernah berputus asa untuk membawa kami kembali dan akan sentiasa memberi kami kata-kata jaminan bahawa kami akan kembali walau apa-apa pun,” katanya.

Memandangkan berita mengenai dia terkandas disiarkan pada 17 Januari lalu, dia terkejut apabila ramai orang bertindak membantunya kembali ke Sarawak.

“Saya tidak sangka pegawai kedutaan akan datang berjumpa kami tetapi pada masa sama saya berasa lega kerana yakin masa kami untuk kembali ke sini semakin hampir.

Baca lain  Sarawak mahu pengamal media, pelajar jadi ejen tidak rasmi sampaikan sentimen rakyat

“Apabila mereka memindahkan kami ke hotel, bukan sahaja pihak kedutaan mempercepatkan proses kami, mereka juga membantu kami dengan semua prosedur yang diperlukan. Untuk itu, saya berterima kasih kepada mereka.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, Putrajaya dan Kedutaan Malaysia Manila kerana membantu saya kembali ke Kuching.

“Saya gembira, akhirnya saya berada di sini kerana bantuan anda, akhirnya saya dapat bersamasama keluarga saya,” katanya.

Terkandas lebih empat tahun, Dewi mengakui mengalami trauma ditinggalkan di negara asing.

“Buat masa ini, saya hanya mahu tinggal di Kuching dan tidak mahu pergi ke mana-mana.

Selain itu, dengan pengalaman yang ada, saya belajar untuk tidak membuat keputusan untuk melakukan sesuatu secara terburu-buru,” ujarnya.

Selain mengidamkan laksa Sarawak sebagai menu yang bertahun-tahun dia mahu makan, Dewi juga memohon pekerjaan untuk memberi pulangan kepada ibunya dan menyara anak-anak perempuannya.

Dia juga memaklumkan cuba mengajar anaknya berusia tiga tahun bercakap dalam bahasa Sarawak.

Dia dengan nada sebak sambil memeluk ibunya mengucapkan terima kasih kepada ibunya yang tidak henti-henti membantunya dan tidak berputus asa sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Sheryl yang berada di sisinya turut bersyukur atas kepulangan anak perempuan dan dua cucu perempuannya.

“Saya tidak dapat meluahkan perasaan saya akhirnya melihat mereka dekat saya. Usaha saya selama ini akhirnya membuahkan hasil.

“Terima kasih SOFTAA, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Awal Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah, Kedutaan Besar Malaysia Manila dan ada nama yang saya tidak dapat sebut di sini yang membantu berurusan dengan Kedutaan Filipina.

Saya berharap mereka dipanjangkan umur sihat dan sejahtera,” katanya.

Tambahnya, memandangkan mereka bertiga sudah pulang, akhirnya dia boleh berehat dan menjaga cucu-cucunya di rumah.

Sebelum ini Dewi Farisha bersama-sama dua anaknya terkandas di Filipina sejak 2019 selepas pergi ke negara berkenaan untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menyukarkan kepulangan tiga anak-beranak itu susulan sekatan di pintu sempadan antarabangsa sehingga berdepan penalti puluhan ribu ringgit atas kesalahan tinggal lebih masa.

Dewi Farisha ketika itu menyewa bilik di Taytay di Rizal, Manila sebelum kisahnya dilaporkan media tempatan sehingga mendapat perhatian Kerajaan Sarawak.

BERITA LAIN

Lebih ramai profesional perubatan diperlukan

KUCHING: Lebih ramai profesional dalam bidang perubatan diperlukan seiring dengan pemilihan Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh syarikat terkemuka, Roche Pharmaceuticals, sebagai tapak untuk ujian klinikal

SUKMA XXI 2024: SABA sasar juara keseluruhan

KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) berazam untuk muncul juara keseluruhan acara tinju pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024, dkanengan meletak sasaran untuk

BERITA TERBARU

Dua bot ditahan langgar syarat sah lesen

TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menahan dua bot tempatan selepas disyaki melanggar syarat sah lesen dalam satu operasi,