ARTIKEL

Abdul Karim (duduk tengah) bercakap pada sidang media selepas membentangkan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini. - Foto: Ramidi Subari

Kembalikan hak istimewa berhubung perkara pelancongan di bawah MA63 kepada Sarawak – Abdul Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak dan kedudukan istimewa berhubung hal-hal pelancongan kepada Sarawak seperti yang dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu seterusnya menyelar tindakan Kerajaan Persekutuan pada tahun 1992 yang memasukkan pelancongan ke dalam senarai persekutuan tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri.

“Tindakan ini berlaku pada tahun 1992, di mana Kerajaan Persekutuan secara senyap-senyap mengubah senarai tersebut tanpa melalui proses konsultasi yang sepatutnya dengan Kerajaan Negeri.

“Mereka tahu mereka mendapat hak itu dengan cara yang tidak betul.

“Sebarang perkara yang menjejaskan hak negeri, negeri harus dirujuk terlebih dahulu.

“Kami tidak membuat kekecohan mengenainya pada masa itu kerana Kerajaan Persekutuan dan Negeri di bawah parti yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membentangkan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Jelas Abdul Karim, apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, portfolio pelancongan tidak termasuk dalam senarai persekutuan, senarai negeri, atau senarai bersama.

Malah pada masa itu, katanya, orang ramai tidak sedar tentang kewujudan industri pelancongan dan isu-isu alam sekitar.

“Seiring dengan peredaran masa, setelah 60 tahun merdeka, kita mula menyedari kepentingan kedua-dua bidang ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pelancongan diletakkan di bawah senarai bersama.

“Sepatutnya, rundingan ini berjalan lancar tetapi Sabah mempunyai pandangan yang berbeza.

“Sabah mahu ia dimasukkan ke dalam senarai negeri.

“Bagi kita (Sarawak), sama ada ia dalam senarai negeri atau senarai bersama tidak menjadi masalah kerana senarai bersama bermaksud kedua-dua persekutuan dan negeri boleh terlibat,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa kerjasama yang erat ini penting untuk memastikan pelancongan terus berkembang tanpa menimbulkan masalah antara negeri dan persekutuan.

Karim juga menegaskan bahawa Sarawak tidak mempunyai isu besar dengan perkara ini dan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

“Pada akhirnya, kami mahu sektor pelancongan berkembang maju, sama ada di Semenanjung Malaysia atau di Sarawak.

“MOTAC juga banyak membantu kami, dan hubungan kami sangat erat,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU