Kembalikan kekuatan yang sudah hilang

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) perlu ditadbir urus dengan baik untuk mengembalikan kekuatan pasukan yang ‘sudah hilang’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kalau pasukan kita tidak menang piala tidak mengapa… tetapi jangan sampai berada di tangga terbawah liga. “Bola sepak merupakan sukan yang paling diminati di negeri ini, jadi ramai yang mahu melihat skuad negeri kita maju, bukannya merudum,” kata Abdul Karim.

Tahun 2019 merupakan musim terburuk dalam sejarah bola sepak Sarawak apabila berada di tangga tercorot Liga Premier, diikuti kekalahan 3-1 kepada Kuching FA dalam aksi play-off, menyebabkan skuad Sarawak turun ke Liga M3 2020.

Menurut Abdul Karim, badan induk, FAS bertanggungjawab untuk membentuk semula pasukan. “Kalau kita pilih pemain, pilihlah yang betul-betul boleh bermain dan mampu memberi sumbangan kepada pasukan. “Pada masa yang sama FAS juga perlu menjaga kebajikan pemain dengan baik… gaji dibayar ikut waktu. “Pemain tidak akan dapat main bagus jika gaji tidak betul,” tegas Karim.

“Oleh itu, FAS perlu ditadbir den gan baik dan pemain juga mesti bermain dengan bersungguh-sungguh untuk negeri. Pemain harus ingat, mereka adalah duta kecil,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan bola sepak negeri ini, apatah lagi ia sebagai sukan utama bagi rakyat Sarawak.

Sejak menyertai Liga Malaysia pada 1979, bola sepak Sarawak mengalami detik pahit, manis. Daripada pasukan bawahan pada awal kemunculan, hinggalah tampil sebagai pasukan teratas apabila menjuarai Liga Perdana 1997, sebagai pasukan terkuat dalam Liga Malaysia ketika itu.

Sebelum itu Sarawak turut menjuarai Piala FA 1992. Selepas itu, skuad Sarawak mengalami prestasi turun naik, dengan beberapa pencapaian yang membanggakan seperti ke final Piala Malaysia 1999, final Piala FA 2001.

Malah Sarawak juga kembali ke era juara, apabila memenangi Liga Perdana 2013, namun kembali menurun selepas itu hingga sekarang.

Namun musim 2020 menjanjikan senario baharu, perubahan landskap bola sepak Sarawak. Buat pertama kalinya, skuad utama negeri berubah nama, dikenali sebagai Sarawak United, hasil pembelian lesen daripada kelab Selangor United sebagai ‘tiket’ untuk beraksi dalam Liga Premier 2020.

Bagaimanapun, pasukan Sarawak FA tetap beraksi dalam Liga M3. Ini bermakna, tiga wakil Sarawak akan mewarnai saingan bola sepak Malaysia musim depan iaitu Sarawak United, Kuching FA dan Sarawak FA.