Trending

Kembara Kenali Borneo Agong, Permaisuri santuni rakyat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SELEPAS menempuh perjalan lebih 1,000 kilometer Jelajah Kenali Borneo bermula dari Tawau, Sabah pada 3 September lalu, konvoi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah meneruskan kembara di Sarawak pada 7 September.

Seperti di Sabah baru-baru ini, kedua-dua pasangan diraja itu disambut meriah oleh ribuan rakyat jelata yang setia menunggu di bahu jalan meskipun dalam keadaan panas dan hujan.

Walaupun hanya seketika bersua muka, namun bagi rakyat ia penantian berbaloi apabila dapat beramah mesra dengan baginda yang terkenal dengan sifat rendah diri dan senang didekati.

Jelas terlihat, Agong dan Permaisuri sangat disayangi serta disanjungi rakyat.

Berangkat sama menyertai konvoi di Miri Sarawak ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Momen itu antaranya disaksikan semasa Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan paduka anakanda berkenan berangkat pada Majlis Santapan Bersama Komuniti di Dewan Kampung Pangkalan Lutong apabila ratusan penduduk setempat membanjiri pekarangan dewan itu.

Dapat disaksikan keterujaan rakyat menyambut kunjungan kerabat diraja dengan sorakan gemuruh dan laungan “Daulat Tuanku”.

Sejurus Seri Paduka berdua serta paduka anakanda berangkat tiba, Dewan Kampung Pangkalan Lutong yang terletak 12km dari bandar raya Miri terus dikerumuni penduduk di sekitar lokasi berkenaan.

Peluang bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tidak dipersiakan oleh golongan muda mahupun dewasa, bahkan mereka sanggup menunggu di tepi jalan dengan harapan dapat bersalaman dengan baginda.

Oleh sebab ruang terhad di dewan tersebut, pelbagai lapisan masyarakat menunggu di luar dewan.

Bagaikan prihatin dengan keadaan itu, Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah serta paduka anakanda berkenan menyantuni dan beramah mesra seketika dengan beberapa penduduk yang menantikan keberangkatan kerabat diraja itu.

Tunku Azizah pula ketika berangkat meninggalkan majlis berkenaan sempat melambai dan memberi simbolik ‘hati’ di bumbung kenderaan pacuan empat roda yang dipandu sendiri oleh Al-Sultan Abdullah.

DEKAT DENGAN RAKYAT

Kembara Kenali Borneo meneruskan jelajahnya ke Sarawak menerusi Miri setelah singgah di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, pada Khamis dan berangkat ke Majlis Santapan Malam yang dihoskan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada sebelah malam.

Menariknya, ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, di Miri, kerabat diraja itu menyerahkan sendiri pasport kepada pegawai imigresen yang bertugas.

Suasana itu dirakamkan melalui kaunter pandu lalu Kompleks ICQS Sungai Tujuh kira-kira 12 tengah hari untuk meneruskan perjalanan ke Miri bagi menghadiri majlis yang dijadualkan.

Hal sama turut dilakukan Pemangku Raja Pahang yang berangkat sama menyertai perjalanan Kembara Kenali Borneo di Sarawak, selain turut berangkat menyertai kembara di Bumi Kenyalang itu ialah Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Sejurus berangkat meninggalkan ICQS, Seri Paduka berdua serta paduka anakanda meriah disambut rakyat Sarawak yang sedia menanti bagi merai keberangkatan rombongan diraja itu, di sepanjang jalan sejauh hampir 30km dari kompleks imigresen ke Miri Handicraft Centre — lokasi pertama persinggahan kerabat diraja tersebut di bandar raya itu.

BERAMAH MESRA

Pelbagai gelagat sempat dirakamkan dalam perjalanan lebih dua jam itu, malah turut menarik perhatian apabila orang ramai menungggu di bahu jalan memakai pakaian kebudayaan dari pelbagai etnik suku kaum Sarawak seperti Kayan, Kelabit, Kenyah, Kedayan dan Iban.

Sebahagian mereka juga mengambil kesempatan mempersembahkan tarian tradisi di kawasan perumahan.

Konvoi tersebut turut dijadual menuju Bekenu, Bintulu diikuti persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak sehingga 13 September ini.

Kembara Kenali Borneo bertujuan merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Penjelajahan selama 11 hari itu sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Sementara itu, menteri pengiring, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, konvoi baginda di negeri ini melibatkan perjalanan sejauh 1,198km bermula dari Lawas hingga Telok Melano.

“Lokasi menelurusi Lebuh raya Pan Borneo kemudiannya diteruskan ke bahagian selatan Sarawak, iaitu Masjid Bahagian Sri Aman dan Zero KM Lebuh Raya Pan Borneo, Telok Melano.

“Antara aktiviti diadakan termasuk pameran dan demonstrasi kraf tangan, aktiviti kebudayaan, aktiviti memasak yang mengetengahkan keunikan juadah Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai sentiasa mematuhi arahan dari pihak berkuasa sepanjang perjalanan kembara baginda berdua.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru