BUKAN selalu Yang di-Pertuan Agong melakukan kembara dan perjalanan lebih daripada 2,000 km mengharungi Sabah, Brunei dan Sarawak.
Malah, inilah pertama kali dalam sejarah Yang di-Pertuan Agong mengadakan program sedemikian dalam sejarah negara.
Maka tidak hairanlah, Kembara Jelajah Borneo oleh Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapat respons luar biasa hebat dan hangat daripada rakyat di Sabah dan Sarawak.
Baginda memandu sendiri sejauh 2,154 km secara keseluruhan selama 84 jam menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo yang mula dibina pada zaman mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Saya percaya bahawa peristiwa berkenaan bukan sahaja akan meninggalkan kenangan manis kepada rakyat, malah juga kepada Agong dan permaisuri serta putera puteri mereka.
Pelbagai telatah dan gelagat baginda dan rakyat dapat disaksikan sepanjang kembara itu.
Hakikat bahawa ramai yang menunggu di sepanjang jalan dan di lokasi pasangan diraja itu mengadakan acara membuktikan betapa baginda dan isteri begitu dekat di hati rakyat.
Inilah Agong yang paling popular kerana sifatnya yang berjiwa rakyat, mudah mesra dan tidak kekok melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama rakyat.
Baginda begitu mudah menyebatikan dirinya dengan rakyat pelbagai kaum dan peringkat di Sabah dan Sarawak.
Raja dan rakyat bersatu hati, bergaul tanpa protokol, dan akhirnya saling mengenali hati budi masing-masing.
Disebabkan tidak mahu mengecewakan rakyat yang berbaris panjang dan lama menunggu di sepanjang jalan dan di lokasi sambutan, rombongan kadangkala lewat sampai di lokasi acara yang dijadualkan.
Baginda tidak mahu menghampakan dan mengecewakan rakyat.
Dapat disaksikan bagaimana rakyat cuba mendekati baginda dan keluarganya, dengan ada yang mengambil peluang untuk meminta tandatangan dan mengambil gambar bersama-sama baginda.
Bagi rakyat, peluang sedemikian tidak selalu hadir dalam kehidupan mereka.
Baginda dan keluarganya mahu sedapat mungkin memuaskan rakyat yang begitu teruja ingin bersama-sama baginda, dan menatap wajahnya.
Sepanjang kembara 11 hari dari 3 September hingga 13 September lalu, dari Tawau hingga ke Telok Melano — baginda telah bersua muka dengan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya.
Pasti ia memberi pengalaman lebih berwarna-warni kepada baginda. Baginda dan permaisuri sering diajak terbabit dalam pelbagai aktiviti termasuk berpoco-poco, bermukun, memancing dan memasak.
Baginda berdua kelihatan begitu selesa, teruja, seronok apabila terbabit dalam pelbagai aktiviti melibatkan rakyat, termasuk di rumah panjang.
Pengalaman mendapat ikan ketika memancing di Sebauh, bertandak dan menyaksikan pelbagai persembahan budaya tentu sesuatu yang diingati oleh baginda sepanjang hayat.
Semua ini menggembirakan hati baginda dan permaisuri dan penduduk tempatan yang terbabit. Sesungguhnya, seperti diakui sendiri oleh baginda dalam titahnya, orang Sarawak dan Sabah memang hebat.
Baginda mengakui: “Saya cukup terharu dari ikhlas… saya tak terkata lagi dah.
Memang terbukti rakyat Borneo ini cukup-cukup hebat sekali kerana sanggup menunggu saya dengan isteri, keluarga saya…. anakanda saya”.
Rakyat Sarawak bukan sahaja terkenal dengan budaya unik, tetapi melayan tetamu dengan begitu mesra dan baik.
Hal ini diakui sendiri oleh Agong yang menganggap dirinya sebagai — Pak cik Agong selepas salah seorang rakyat Sabah menggelarkan baginda demikian kerana terlalu teruja sampai hilang kata-kata dan tidak tahu gelaran yang hendak digunakan ketika bersua muka dengan baginda.
Peristiwa sedemikian memang mencuit hati dan melucukan dan baginda turut terhibur dengan gelagat berkenaan, dan menerimanya dengan hati terbuka sehingga sering disebut baginda dalam titahnya di pelbagai tempat di Sarawak.
Sudah tentu lelucon berkenaan akan diulangi oleh baginda pada masa depan.
Baginda begitu terharu dengan sambutan hangat dan luar biasa penduduk di semua tempat dikunjunginya.
Baginda, permaisuri dan putera puterinya, telah membuktikan betapa tembok antara singgahsana bukan penghalang untuk memisahkan raja dengan rakyat.
Raja dan rakyat berpisah tiada.
Raja yang prihatin akan nasib rakyat dan begitu berjiwa rakyat itu menerima reaksi yang begitu positif daripada rakyat
. Baginda begitu menyayangi rakyat, dan rakyat pula begitu menyayangi dan menyenangi baginda dan permaisurinya serta anakanda mereka.
Peristiwa bagaimana putera baginda makan nasi lemak dan baginda menunggu puteranya di tepi jalan, dan gambar itu tular, begitu menyentuh hati rakyat.
Yang menarik perhatian rakyat, di manamana keluarga diraja itu pergi, mereka mengetepikan protokol. Hal ini tentu menyukarkan tugas pihak keselamatan.
Tetapi itulah caranya kalau pemimpin mahu mendekati rakyat. Jika terlalu banyak halangan, sudah pasti sukar untuk pemimpin mendekati rakyat, dan begitulah juga sebaliknya. Baginda benarbenar raja berjiwa rakyat.
Baginda mencuba sedaya upaya untuk memenuhi kehendak rakyat, termasuk meletakkan tandatangan, singgah dan berhenti di tepi Lebuh Raya Pan Borneo yang dilaluinya, dan sebagainya.
Baginda dan permaisuri juga mendendangkan lagu tertentu seperti Pesanan Buat kekasih dan Gurindam Jiwa bagi menghiburkan rakyat, selain turut menyanyikan lagi popular di Sarawak, iaitu Berkikis Bulu Betis.
Tentu segalanya itu akan meninggalkan kesan mendalam dan abadi kepada rakyat.
Manakala bagi baginda pula, tentu tidak akan lupa segala peristiwa dan kenangan indah yang dialaminya sepanjang menjalani kembara yang bersejarah itu.
Pemimpin politik yang berasa mereka terlalu hebat, tentu dapat memetik pengajaran daripada bagaimana baginda dan keluarga menyantuni dan melayan rakyat ketika kembara itu.
Sesungguhnya, raja pemerintah ialah payung kedaulatan yang memberi naungan saksama kepada rakyat, tanpa mengira kaum dan agama.
Singgahsana pemerintahan ialah tonggak kestabilan, sumber keadilan dan teras penyatuan rakyat.
Al-Sultan Abdulllah bakal menamatkan perkhidmatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2024.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.