KUCHING: Skuad Kuching City FC (KC FC) akan berkunjung ke Kemboja dan mengadakan perlawanan persahabatan menentang beberapa kelab di negara terbabit untuk memantapkan persefahaman dalam kalangan pemain.
Ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim menegaskan, kunjungan ke negara jiran itu dijadual berlangsung awal bulan depan (Februari).
“Kita akan terbang ke Kemboja awal bulan depan dan akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab yang bermain di liga utama negara terbabit,” ujar Irfan kapada Arena Suara Sarawak.

Menurut Irfan, perancangan awal pihaknya mahu ke Thailand atau pun Indonesia.
Bagaimanapun, memandangkan liga di kedua-dua negara terbabit sudah bermula, sebab itu pihaknya terpaksa beralih tumpuan ke Kemboja.
“Lagi pula aksi kompetitif seperti itu penting sebagai persediaan awal pemain saya bagi menghadapi kempen Liga Super 2023,” tambah Irfan yang belum dapat memberi butiran lanjut mengenai tarikh dan nama kelab di negara jiran itu.
The City Boys kini tampak lebih mantap dengan tujuh pemain import. Selain dua pemain import musim lepas yang masih dikekalkan iaitu Abu Kamara (penyerang/Liberia) dan Yuki Tanigawa (pertahanan/Jepun).
Lima lagi import baharu ialah Kuziev Sirojiddin Salohiddin, 27 (tengah/Uzbekistan), Mihailo Jovanovic, 34 (pertahanan/Serbia), Ferreira Dos Santos Celio, 36 (pertahanan/Timor Leste), Julian Schwarzer Garcia, 23 (penjaga gol/Filipina) dan Sudi Abdallah, 23 (penyerang/Burundi).