KUCHING: Kemelut kepimpinan yang dihadapi Parti Bangsa Malaysia (PBM) hanya merugikan penyokong di peringkat akar umbi.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata isu dalaman antara pemimpin itu mencerminkan PBM sebagai sebuah‘parti kartun’.
“Mereka parti baharu, beberapa hari ini kita melihat parti itu sudah menjadi parti kartun, berebut tentang siapa yang menjadi presiden.
“Belum bertanding, mereka sudah berdepan masalah kecelaruan mengenai kepimpinan di peringkat tertinggi,” katanya ketika dimintak mengulas mengenai isu berkenaan.
Menurut Abdul Karim, kepincangan yang berlaku akan menyebabkan kesukaran kepada penyokong dan pengundi mereka.
“Saya tidak fikir PBM mampu bergerak, begitu juga penyokong mereka jika ada, terpaksa berilusi dengan parti berkenaan.
“Secara praktikal, pengundi sudah tentu akan menilai apakah perjuangan parti sebelum mengundi, ini tidak sebelum bertanding PRU-15 sudah menghadapi masalah kepimpinan seperti ini.
“Jadi bagaimana anda hendak memimpin negara?,” soal Adun Asajaya itu.
Mengenai PKR, tegasnya sukar untuk parti itu‘survive’ di Sarawak walaupun turun bertanding di banyak kerusi.