BANGKOK: Parti Chart Thai Pattana menjadi parti terbaharu yang menyertai gabungan di bawah pimpinan Parti Pheu Thai, menjadikan jumlah keseluruhan Ahli Parlimen kini seramai 238 daripada 500 ahli Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei, Parti Chart Thai Pattana memenangi 10 kerusi.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua parti itu berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan sokongan daripada parti politik dan Dewan Negara bagi membentuk kerajaan yang mampu menyelesaikan cabaran negara.
“Kami yakin kerjasama yang diterajui Pheu Thai dapat membantu negara mengharungi krisis ini dan mencipta masa depan yang lebih cerah untuk semua.
“Kami berharap perpaduan politik dapat membantu negara menyelesaikan masalah rakyat dan negara kembali seperti biasa secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, ketua Parti Chart Thai Pattana, Varawut Silpa-Archa, berkata parti itu bersetuju menerima pelawaan Pheu Thai selepas mendapati mereka berkongsi dasar dan perspektif yang sama.
Pheu Thai, yang memenangi jumlah kerusi kedua tertinggi dalam PRU 14 Mei, sedang berusaha untuk menamatkan kemelut politik dan membentuk kerajaan tanpa Parti Move Forward (MFP).
Sebelum ini , Pheu Thai telah menjalin pakatan dengan tujuh parti lain iaitu Parti Bhumjaithai, Parti Prachachat, Parti Chart Pattana Kla, Parti Pue Thai Rumphlang, Parti Liberal Thai, Parti Plung Sungkom Mai dan Parti Thai Countries.
Bagaimanapun, gabungan sembilan parti itu masih kekurangan sokongan kerana seorang perdana menteri memerlukan 375 undi di Parlimen dwidewan yang mempunyai 749 anggota untuk membolehkan membentuk kerajaan.
Gabungan itu masih perlu meraih sokongan daripada 250 Senator di Dewan Negara.
Media tempatan melaporkan, Pheu Thai turut melobi untuk mendapatkan sokongan MFP dalam undian perdana menteri yang dijadualkan pada akhir bulan ini.
Pemimpin MFP Pita Limjaroenrat dilaporkan berkata parti itu belum membuat keputusan sama ada akan menyokong gabungan pimpinan Pheu Thai.
Pheu Thai dijangka mencalonkan taikun hartanah Srettha Thavisin sebagai perdana menteri.
MFP memenangi 151 kerusi, menjadikannya pemenang terbesar dalam PRU 14 Mei, tetapi gagal untuk membentuk kerajaan berikutan hasrat parti itu mahu meminda Perkara 112 kanun jenayah atau lese-majeste. – BERNAMA