KUCHING: Kelab gergasi serba mantap, Machan FC mahu memastikan misi beroleh kemenangan mampu dicapai tatkala turun melayani kunjungan UiTM United pada aksi separuh akhir Liga M4 (Al-Ikhsan Cup 2023) di Stadium Negeri, Petra Jaya petang esok (3:45 petang).
Sekiranya kemenangan berjaya diperoleh akan memuktamadkan perjalanan anak-anak buah Andrew Lawadin menuju ke pentas final.
Presiden Kelab Bola Sepak Machan FC Azizie Fauzi menegaskan, misi untuk mencapai kemenangan menjadi fokus pasukannya petang esok.
Menurut Azizie, segalanya bukan mudah malah percaya pemainnya akan diberi tentangan sengit sepanjang perlawanan.
“Apa yang pasti, kami sudah bersedia untuk mengharungi gelora sebenar berdepan UiTM United petang esok,” ujar Azizie kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, segala perancangan sudah disusun rapi dan pemain dilihat tidak sabar untuk turun beraksi.
“Diharap segalanya berjalan dengan lancar.
Saya percaya para pemain setentunya tidak mahu dimamah kecewa,” tambah Azizie lagi.