ARTIKEL

Kemenangan PRK Jepak: Keyakinan rakyat terhadap GPS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTULU: Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, undi majoriti kali ini juga meningkat dua kali ganda berbanding 4,262 undi diperoleh Allahyarham Datuk Talib Zulpilip pada PRN ke-12 lalu.

Katanya ini membuktikan mesej jelas rakyat terhadap dasar yang dirancang dan dilaksanakan GPS seperti yang terkandung dalam manifesto gabungan parti itu.

“Tahniah kepada Iskandar Turkee atas kemenangan besar di PRK Jepak, walaupun peratusan keluar mengundi rendah iaitu 48.70 peratus.

“Apa yang lebih penting, kita menang semua pusat mengundi dan kedua-dua calon pembangkang hilang deposit.

“Terima kasih juga kepada semua pengundi Jepak kerana memberi kemenangan besar kepada calon GPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Rundi yang juga Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak turut berterima kasih kepada parti komponen  GPS yang telah bertungkus lumus untuk menerangkan kepada pengundi mengenai dasar-dasar kerajaan.

Beliau sifatkan ia sebagai satu pendekatan yang begitu akrab, kerjasama di antara parti-parti GPS dalam memastikan kemenangan besar GPS.

PRK Jepak menyaksikan Iskandar menang dengan majoriti 8,784 undi selepas memperoleh 9,638 undi menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang yang mendapat 854 undi dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing yang hanya meraih 431 undi.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU