ARTIKEL

Kementerian Perladangan dan Komoditi sedia jalin kerjasama dengan UK dalam bidang komoditi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan United Kingdom (UK) di dalam bidang komoditi sebagai usaha mempergiatkan perdagangan dua hala.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mereka menyambut baik segala rundingan berkaitan perkara tersebut dan menyokong kemasukan UK ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

BERCAKAP… Fadillah bercakap kepada pemberita. | RAMIDI SUBARI

Katanya, Setiausaha Perdagangan UK Kemi Badenoch sebelum ini menerusi kenyataan juga menangkis idea berkaitan penyahhutanan melibatkan sektor sawit kerana minyak adalah produk yang produktif, sihat malah digunakan secara meluas.

“Justeru, kita menyambut baik kenyataan pihak UK itu dan bersedia untuk bekerjasama dengan mereka di dalam bidang komoditi sekali gus dapat mempergiatkan perdagangan antara dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Agihan Bubur Kacang Hijau anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Enam Taman Kuching di Surau Al-Hidayah, Taman Sejoli, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Manakala ketika ditanya adakah penyertaan UK ke dalam CPTPP mempunyai kaitan dengan sekatan minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU), Fadillah memaklumkan ia perkara yang berbeza.

Menurutnya, perkara tersebut kerana UK bukan lagi sebahagian daripada EU.

“Bagaimanapun, KPK akan menjalinkan hubungan dengan EU dan berharap agar mereka memahami segala usaha yang kita laksanakan termasuk kemapanan minyak sawit dan produk hutan kita,” ujarnya.

Mengenai majlis, tersebut ia dianjurkan oleh JKKK Enam Taman Kuching sekali gus menyaksikan sebanyak 350 bubur kacang hijau diagihkan kepada masyarakat sekitar kawasan tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU