ARTIKEL

Adly (tiga kiri) menyantuni seorang pesara tentera dengan melawat kediamannya di Serian.

Kementerian Pertahanan salur bantuan RM244 juta jaga kebajikan pesara tentera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Seramai 28, 835 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima faedah pembayaran sara hidup menerusi peruntukan sebanyak RM244 juta daripada Kementerian Pertahanan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Skim Bantuan Kebajikan (SBK).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, peningkatan jumlah peruntukan yang mencecah hampir tiga kali ganda berbanding RM56 juta pada tahun 2023 demi memastikan kebajikan pesara tentera yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.

“Peningkatan ini dapat membantu mereka mendapat bantuan bulanan, termasuk mereka yang mempunyai pekerjaan, dengan cuba meningkatkan sosioekonomi mereka.

“Dengan cara ini, secara keseluruhan anggota veteran akan mendapat taraf hidup dan sara hidup menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Progran Peduli Veteran MADANI (PVM) di Dewan Masyarakat Serian di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah terbabit merupakan rekod veteran ATM yang telah mendaftar di bawah JHEV setakat 15 April 2024.

Mengulas mengenai program PVM itu, beliau menegaskan seramai 36 anggota veteran dan dua orang usahawan (veteran tentera) telah dilawat bagi tujuan penyerahan sumbangan daripada JHEV.

“Mengikut jadual, kita sepatutnya ada seorang lagi veteran untuk dilawat namun beliau telah meninggal dunia pada Jumaat (26 April), tetapi kita tetap menziarahi keluarganya bagi menghulurkan bantuan daripada JHEV.

“Kita juga telah membantu dua usahawan veteran untuk meningkatkan keusahawanan mereka dengan memberikan mesin jahit dan juga peti sejuk beku, kita harap peralatan ini meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi mereka,” katanya.

Tahun ini katanya, sebanyak 13 program PVM telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Ditanya mengenai pendaftaran veteran pada data JHEV, Adly berkata setakat ini kira-kira 213,000 veteran sudah mendaftar.

Justeru, beliau menasihatkan mana-mana veteran ATM yang belum mendaftar untuk bertindak mendaftarkan pengenalan diri mereka di dalam sistem yang telah disediakan.

Katanya, gesaan itu bagi memastikan mana-mana veteran tidak ketinggalan dalam menerima faedah atau sumbangan yang diperuntukkan khas kepada mereka.

“Dalam tempoh lima tahun ini, ada 22,000 veteran yang sepatutnya kita berhubung mengenai peluang pekerjaan tapi malangnya lebih 8,000 tidak dapat dihubungi.

“Masalahnya kini adalah mereka yang tidak berpencen, kita bimbang sekiranya kumpulan itu harus dibantu mahupun tidak, kita juga tidak mengetahui sama ada mereka berjaya atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Adly memaklumkan, seramai tujuh pesara tentera di Sarawak telah dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Ia merangkumi dua penerima masing-masing di Kuching, Samarahan dan Serian, dengan satu di Lundu.

Terdahulu, Adly turut melawat kediaman lapan pesara tentera veteran uzur di kawasan Serian.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU