KOTA SAMARAHAN: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi komited dalam usaha untuk menyelesaikan isu kekurangan tenaga orang kompeten dalam bidang reka bentuk solar di negeri ini.
Menterinya, Datuk Julaihi Narawi berkata Sarawak hanya mempunyai 126 orang kompeten yang berdaftar melibatkan kemahiran sistem solar setakat ini, terutamanya untuk melaksanakan projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).
Katanya, jumlah tersebut juga tidak termasuk orang kompeten yang mempunyai kemahiran dalam reka bentuk solar.
Jelasnya, sudah pasti penggalakkan penjanaan elektrik menggunakan tenaga solar akan meningkatkan permintaan bagi tenaga mahir dalam bidang tersebut.
“Bagaimanapun, kita masih mengadapi kekurangan tenaga dalam bidang kepakaran reka bentuk pemasangan sistem solar di Sarawak.
“Justeru, kementerian saya menerusi Unit Merinyu Elektrik (EIU) berkerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk memperkenalkan modul dan silibus bagi kursus reka bentuk sistem solar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi Kursus Reka Bentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV) kepada UNIMAS di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS, di sini, hari ini.
Tambahnya, untuk memastikan kelestarian sektor solar, Sarawak tidak boleh bergantung kepada pihak luar bagi menghasilkan tenaga mahir serta kepakaran dalam bidang tersebut.