KUCHING: Usaha Persatuan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) mengadakan kempen ikrar derma organ merupakan satu langkah baik yang boleh memberi manfaat kepada golongan pesakit yang memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif tersebut sekali gus memberi pendedahan kepada orang awam tentang pendermaan organ.
Menurutnya lagi, pendermaan organ sentiasa menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat kerana ramai yang masih belum diberi penerangan betul berkaitan perkara tersebut.
“Oleh itu, wujudnya aktiviti yang dilakukan oleh PPIS ini dapat meningkatkan kefahaman orang ramai, pada masa sama menarik lebih ramai individu untuk mengangkat ikrar menderma organ.
“Pada bulan lepas, seramai tujuh orang tampil untuk membuat ikrar tersebut. Kali ini, kita harap berlaku peningkatan bilangan tersebut bagi membantu golongan pesakit yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas menyempurnakan Program Derma Darah di Everise Batu 4, di sini, Jumaat.
Tambahnya, Unit Perolehan Organ Hospital turut mendedahkan bahawa bilangan penderma organ di Sarawak merekodkan peningkatan dan ia merupakan satu perkembangan yang positif.
Menjawab soalan wartawan berhubung cara untuk mempromosikan pendermaan organ kepada masyarakat, beliau berkata bahawa sudut perspektif berkaitan perkara tersebut perlu diubah terlebih dahulu.
“Kita tahu, ada yang berfikiran bahawa apabila menderma organ, secara fizikal jasad tersebut akan cacat. Jadi, jawatankuasa yang terlibat dalam proses ini perlu menerangkan kepada orang ramai khususnya dari sudut keagamaan, sama ada ia bercanggah atau tidak.
“Kita perlu memberi maklumat tentang prosedur dan proses yang terlibat supaya masyarakat dapat buat keputusan yang akan berpihak kepada objektif pendermaan organ,” jelasnya ringkas.
