KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Alam Sekitar Sumber Asli (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pejabatnya, hari ini.
Kunjungan hormat itu diketuai Kontroller Kualiti Alam Sekitar NREB Peggy Ronin Edin dan Pengarah JAS Hamzah Mohamad.
Antara intipati kunjungan hormat tersebut adalah untuk memberi taklimat kepada Datuk Wee mengenai Kempen Pengumpulan Barangan Elektrikal dan Elektronik E-Sisa.
Kempen tersebut dianjurkan bersama oleh NREB, JAS dan MBKS pada 22 dan 23 April 2022 bertempat di Dewan Masyarakat MBKS, Jalan Padungan bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Wee berkesempatan berkongsi pandangannya tentang bagaimana MBKS, NREB dan JAS boleh bekerjasama dari segi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan pengurusan dan perlindungan alam sekitar.
Katanya, agensi itu perlu bekerjasama antara satu sama lain untuk mendidik dan mempertingkatkan budaya alam sekitar dalam kalangan orang ramai.
“Justeru, saya mengalu-alukan sebarang idea dan cadangan NREB dan JAS agar MBKS dapat memainkan peranannya dalam sebarang isu alam sekitar,” katanya.
Beliau turut menjemput orang ramai untuk menyertai kempen yang akan diadakan bermula 22 April ini di Dewan Masyarakat MBKS.
“Ambil peluang untuk menghantar barangan e-waste anda untuk ditukar dengan wang tunai.
“Ayuh dan sokong kempen e-sisa ini dan rebut peluang untuk membuang e-sisa yang tidak diingini di rumah,” jelasnya lagi.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Pemangku Setiausaha MBKS Zuraida Idris dan Penolong Kontroller Kanan NREB Penny Sumok.
