Kempen keselamatan untuk kurangkan kemalangan jalan raya

BINTULU: Penganjuran kempen keselamatan jalan raya merupakan antara pendekatan kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama menjelang musim perayaan.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat berkata kerajaan memandang serius peningkatan kadar kemalangan dan kematian setiap tahun menjelang musim perayaan.

Kempen ini diadakan setiap tahun dengan matlamat yang sama, iaitu mendidik pengguna jalan raya agar sentiasa bersikap toleransi dan berhemah semasa di atas jalan raya,ujarnya semasa berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2020 anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Bintulu dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Sarawak bertempat di Kelab Golf, di sini.

Katanya lagi, kemalangan terjadi berpunca daripada sikap individu sebagai pengguna jalan raya yang ingkar untuk mematuhi undang – undang dan peraturan jalan raya sedia ada.

Justeru, beliau berharap, agar usaha ini berterusan terutama di kawasan yang sering berlaku kemalangan atau hot spot.

Jack, dalam pada itu, turut menasihati pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan mereka di samping memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

Residen Bintulu itu, kemudiannya, mengagihkan beg mengandungi makanan dan risalah keselamatan termasuk helmet dan jaket keselamatan kepada pengguna jalan raya yang melalui Jalan Tanjung Kidurong.

Kempen keselamatan jalan raya itu turut mendapat penyertaan daripada sektor korporat dan swasta seperti Jabatan Kerja Raya Sarawak, Shell PETRONAS,MLNG, Pertubuhan Keselamatan Sosial(PERKESO) Bahagian
Bintulu, Pejabat Residen dan Daerah Bintulu, Polis DiRaja Malaysia Daerah Bintulu, Jabatan Pertahanan Awam Bintulu dan sebagainya.