ARTIKEL

Kempen Sifar Pembaziran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RAMADAN merupakan bulan penuh rahmat, keberkatan, ganjaran berlipat ganda dan keampunan.

Bulan ketika Allah SWT mengarahkan kita berusaha meraih takwa, seperti firmanNya: “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. (maksud al-Baqarah: 183) Matlamat Allah SWT mengurniakan Ramadan adalah bagi mendidik kita menjadi hamba bertakwa kepada-Nya.

Ramadan ibarat sebuah madrasah atau pusat pendidikan yang menyediakan modul pembelajaran untuk mencapai segala objektif ketakwaan kepada Sang Pencipta.

Antara modul terpenting ialah puasa.

Kita berpuasa dididik oleh syariat Islam untuk menahan diri melakukan sesuatu yang dilarang sekali pun kita berkemampuan melakukannya. Inilah tarbiah Ramadan kepada jiwa insani, semangat ini sepatutnya dibawa terus apabila kita berbuka.

Kita makan dan minum tidak berlebihan, bukan kerana kita tidak mampu, tetapi kerana mematuhi arahan Allah.

Firman Allah SWT: “Dan makan dan minumlah kamu dan jangan berlebih-lebihan.

Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan”. (maksud al-Araf: 31) Ramadan membantu kita mengawal nafsu daripada pembaziran yang tidak sepatutnya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang melakukan pembaziran itu ialah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula ialah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (maksud al-Isra: 27). Ayat ini merupakan satu peringatan daripada Allah agar kita tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pembaziran.

Cukup jelas bahawa individu membazir itu mempunyai sikap ditamsilkan dengan amalan syaitan.

Justeru, Wanita Ikram Sarawak mengadakan kempen Ramadan: Aku kembali kepada fitrah tanpa pembaziran dan Projek Wangi 3.0 bertemakan sifar pembaziran.

Objektifnya mengelak pembaziran sepanjang Ramadan, sentiasa menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Ia juga bertujuan mendapatkan barakah rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Membiasakan diri dengan perancangan dalam setiap aspek kehidupan tidak terkecuali dalam penyediaan juadah berbuka.

Melatih diri dengan sifat mahmudah dan menjauhkan diri daripada sifat mazmumah.

Ramadan mengajar kita untuk mensyukuri nikmat tanpa melakukan sebarang pembaziran.

Segalanya bermula dari diri sendiri untuk mengawal nafsu daripada membeli makanan terlalu banyak dan tidak perlu.

Tidak hanya berkisar tentang makanan atau perbelanjaan, malah pembaziran juga meliputi banyak perkara dalam kehidupan Muslim.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menggariskan sembilan jenis pembaziran yang sering kali dilakukan oleh manusia antaranya ialah pembaziran masa, amalan, kekayaan, hati dan tubuh badan.

Alangkah ruginya jika masa tidak dapat diurus dengan baik.

Sekiranya siang hari berpuasa hanyalah beroleh lapar dan dahaga, pada malam hari pula dilanda kekenyangan, apakah makna ibadah dalam ruang masa tersebut tanpa keinginan dan niat beribadah kepada Allah?

Melatih diri agar tidak melakukan pembaziran merupakan amalan yang dituntut dalam Islam.

Maka, Ramadan merupakan saat terbaik untuk menanam tekad membasmi pembaziran bermula daripada diri sendiri dan keluarga, seterusnya istiqamah untuk bulan seterusnya.

Dari Abi Barzah al-Aslamiyy, Rasulullah SAW berkata: Tidak berganjak dua kaki hamba pada hari kiamat, sehingga dia ditanya tentang empat perkara; umurnya dihabiskan ke mana?

Bagaimana dia mengamalkan ilmunya? Dari mana memperoleh dan dibelanjakan hartanya? Untuk apa digunakan tubuhnya? (maksud hadis riwayat al-Tirmizi:)

Kesimpulannya, amalan pembaziran nyata merugikan diri kerana ia dianggap amalan syaitan dan dilarang dalam Islam.

Oleh itu, semoga berjaya dalam memerangi pembaziran, khususnya pada bulan mulia ini.

Mari sertai Pertandingan Rule Your Kitchen, Stop Food Waste berlangsung di setiap Ikram Kawasan dan hubungi PIC di setiap kawasan untuk maklumat lanjut di talian 019- 8064866 (Miri), 014-8877491 (Sibu), 011-6400062 (Bintulu), 019-8596016 (Kuching) dan 013-8423027 (Samarahan) Anda juga boleh ke Facebook Wanita Ikram Sarawak untuk maklumat.

BERITA LAIN

Cegah sebelum terlambat

VIRUS yang menyebabkan AIDS iaitu HIV telah lama wujud. Kes pertama HIV di Sarawak dilaporkan pada 1999. Sejak itu, wabak itu menjejaskan hampir 4,000 rakyat

Rumah kampung mini

PENGGUNA TikTok @nazrulfaiz88 tular dengan isi kandungan menghasilkan seni replika mini seperti kawasan perkampungan atau rumah lama. Hasil tangannya sangat kemas dan cantik, sekali pandang

Pasukan Malaysia pertama juarai MSC MLBB

SELANGOR Red Giants (SRG) menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menumbangkan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-2 dalam kejohanan Mid

BERITA TERBARU

Belematika pemesai reti turai sejarah Sarawak

SIBU: Pengerami ‘722 Run For Sarawak’ udah dikelala nyadi sebengkah pengerami ti besai reti nyerumba Hari Sarawak. Sapit Menteri Pengerai Mensia Mayuh, Pengawa Berumah enggau