Kemukakan permohonan kepada JTS untuk menyukat tanah

KUCHING: Pemilik tanah yang ingin tanahnya disukat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) harus mengemukakan permohonan mereka ke Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerja-kerja tinjauan tanah hanya akan dijalankan berdasarkan permohonan.

“Apabila kita menerimanya permohonan ini, JTS akan membuat perakuan dan selepas diselidik dan mempunyai justifikasi, ia akan diluluskan.

“Setelah diluluskan, JTS akan membuat dialog dengan pemohon untuk memastikan kawasan yang dipohon adalah tepat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di Balai Raya Kampung Sinjok, Siburan hari ini.

Awang Tengah menjelaskan dialog yang diadakan oleh JTS memainkan peranan penting dalam memastikan jabatan mendapat maklumat yang tepat.

“Bagi kampung tradisi, ia tidak menjadi masalah bagi kita kerana kita tahu keluasan kampung dan penduduk juga sangat bekerjasama,” katanya.

Tambahnya, kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk kampung juga penting untuk mempercepat proses penyukatan tanah kerana mereka tahu sempadan sekitar rumah mereka.

Awang Tengah memberitahu, penyukatan tanah untuk kampung tradisi sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Sarawak di seluruh negeri ini.

“Walaupun kampung-kampung tradisional ini sudah lama wujud, statusnya masih digunakan bersama untuk kaum Bumiputera.

“Dengan inisiatif ini, kami akan melakukan penyukatan tanah secara individu yang juga memerlukan kerjasama dari penduduk kampung.

“Setelah selesai, surat hak milik tanah masing-masing akan dikeluarkan di bawah Seksyen 18,” jelasnya.