HSL berbuka puasa bersama pengamal media di Sarawak.

Kemurungan pembunuh senyap

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Gambar hiasan

KEMURUNGAN atau depresi merupakan gangguan perasaan yang menyebabkan individu berasa sedih berpanjangan, keletihan dan mudah marah serta hilang minat dalam melakukan aktiviti harian.

Gangguan perasaan ini biasanya berlarutan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu dan boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau bangsa.

Malah ia boleh berlarutan sehingga berbulanbulan atau bertahun-tahun.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019), kadar kemurungan golongan dewasa di negara ini yang direkodkan idalah 2.3 peratus, bersamaan setengah juta orang.

Kemurungan biasanya terjadi ketika seseorang itu menunjukkan tanda-tanda seperti hilang minat terhadap aktiviti harian, hilang tumpuan terhadap pekerjaan, mengalami masalah atau gangguan tidur dan perubahan selera makan.

Selain itu, berlaku penurunan atau peningkatan berat badan, mudah letih, rasa bersalah yang keterlaluan, putus harapan dan rendah diri yang keterlaluan.

Tidak dinafikan, situasi pandemik Covid-19 turut memberi kesan yang ketara terhadap kesihatan mental setiap individu sehingga menyebabkan berlakunya kemurungan dan tekanan perasaan berlebihan.

Ada juga situasi yang lebih parah sehingga menyebabkan individu yang mengalami kemurungan dan tekanan perasaan ini memilih jalan pintas dengan cara menamatkan riwayat hidup.

Menurut sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, terdapat peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak kes kematian akibat bunuh diri tahun lalu iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada 2019.

Sehingga Julai lalu, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh PDRM, berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu (Jan-Julai 2020).

Antara faktor sosial yang menyebabkan tekanan yang terlampau ini ialah kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

Berdasarkan data ini, ini menunjukkan kes kematian akibat kemurungan ketika pandemik Covid-19 masih merunsingkan kita dan sekiranya gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa bunuh diri merupakan antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan merupakan penyebab keempat kematian bagi individu yang berumur antara 15 hingga 29 tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan terdapat lebih daripada 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun, dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat di seluruh dunia.

Melihat kepada data ini, jelaslah bahawa, isu kemurungan tidak wajar dipandang enteng oleh masyarakat.

Penyakit yang boleh dialami oleh semua peringkat usia ini sudah menjadi pembunuh dalam senyap.

Justeru, ibu bapa misalnya, perlu memainkan peranan penting dalam mengambil tahu akan kesihatan anak bukan sahaja kesihatan fizikal tetapi juga mental.

Kurangnya keprihatinan ibu bapa terhadap anak akibat kesibukan kerja misalnya, atau kurang meluangkan waktu bersama mereka tanpa mengetahui aktiviti seharian atau masalah.

Ibu bapa juga harus berperanan seperti seorang sahabat kepada mereka, bukan sahaja sebagai ibu bapa yang menyediakan makanan dan minuman, pakaian dan tempat tinggal kepada mereka.

Kegagalan ibu bapa menjadi sahabat ini membuatkan anak-anak tidak mahu bersifat lebih terbuka terhadap mereka.

Akhirnya, segala masalah, tekanan, kemurungan yang sedang dihadapi dipendam sendiri begitu sahaja sehingga beban tersebut tidak mampu ditanggung lagi.

Ia berlarutan sehinggalah anak tersebut meningkat dewasa.

Fakta mengejutkan daripada tinjauan NHMS 2019 turut mendapati seramai 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental di Malaysia.

Namun, tidak dinafikan, hanya segelintir ibu bapa yang bersikap tidak acuh kepada anak mereka sehingga masalah kemurungan menjalar dalam diri anak tersebut.

Kesan daripada sikap segelintir ibu bapa yang tidak acuh ini akan membawa kepada kecenderungan anak-anak untuk liar, menjadi pendiam dan bersikap tertutup sehingga kepada penyalahgunaan dadah atau tingkah laku bunuh diri.

Sebenarnya, individu yang mengalami kemurungan ini memerlukan perhatian daripada masyarakat, keluarga terdekat dan rakan-rakan selain mendapatkan bantuan yang sepatutnya daripada pakar psikiatri.

Budaya peka akan keluarga sendiri, rakan-rakan dan masyarakat harus diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Mereka yang menghadapi masalah mental seperti kemurungan ini perlu dibantu, bukannya dipulaukan.

Mungkin dengan adanya bantuan dan perhatian daripada orang terdekat akan menyelamatkan satu nyawa yang berharga.

Sesiapa yang menghadapi masalah tekanan perasaan seperti ini perlu mendapatkan bantuan segera dan tidak menghadapinya seorang diri lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 ini.

Oleh itu, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat dalam menghadapi pandemik ini.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

30 Mac 2023

Berita Terbaru