Kemurungan si ibu berakhir dengan bunuh diri

SIMANGGANG: Si ibu akhirnya ‘pergi’ hari ini selepas beberapa kali dihalang daripada membunuh diri.

Wanita berusia 59 tahun itu yang disahkan meninggal dunia kira-kira 3:00 petang tadi membunuh diri selepas menelan lebih setengah liter racun rumpai jenis Beta Amine.

Sebelum itu ketika menerima rawatan, si mati sempat ditanya oleh pegawai perubatan yang merawatnya dan mengakui beliau sendiri mahu berbuat demikian.

Menurut keterangan anaknya berusia 21 tahun, si ibu sebelum ini pernah beberapa kali menyatakan hasrat hendak membunuh diri termasuk cubaan meminum peluntur (Clorox).

Siasatan awal mendapati, polis tidak mengaitkan kes tersebut dengan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Namun, terdahulu anaknya mengakui ibunya mengalami kemurungan namun tidak pernah dirujuk ke hospital.

Dalam kejadian kira-kira 10:30 pagi tadi, suami si mati menyedari tingkah laku isterinya yang sedang duduk di atas kerusi sambil mengorek mulut menggunakan jari dan meminum air kosong untuk memuntahkan sesuatu.

Suaminya turut dirawat di hospital selepas sedikit racun terkena muka dan mulut ketika cuba menghalang isterinya daripada terus meminum racun.

Risau dengan keadaan ibu bapanya, si anak terus menghantar kedua-duanya ke Hospital Sri Aman.

Polis ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Suara Sarawak