Kena percaya kita lebih bagus

SKUAD Malaysia tidak seharuskan gentar dengan kejayaan Vietnam membenam Indonesia 4-0 pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Isnin lalu.

Legenda bola sepak negara Khalid Ali ketika dihubungi Bernama berkata skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe sebaliknya, lebih fokus dan jangan sesekali hilang keyakinan terhadap keupayaan mereka untuk mengejutkan Vietnam meskipun statistik semasa lebih berpihak kepada pasukan lawan.

Beliau berkata Malaysia wajib meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan menentang Vietnam pada tengah malam Jumaat ini dan Thailand (15 Jun), sekiranya tidak mahu impian layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 musnah.

“Kita lebih hebat berbanding Vietnam, pemain kena percaya mereka lebih bagus daripada Vietnam. Mereka (pemain) perlu bangkit dengan prestasi jauh lebih baik berbanding dalam perlawanan sebelum ini dan bermain sebagai satu pasukan. Pemain perlu bekerjasama, baru boleh atasi Vietnam,” katanya.

Kemenangan 4-0 ke atas Indonesia di Stadium Al Maktoum itu menyaksikan seolah-olah Vietnam memberi amaran awal menjelang pertembungan di venue sama menentang skuad kebangsaan.

Empat gol skuad Naga Emas itu yang hadir pada babak kedua perlawanan masing-masing dijaringkan Nguyen Tien Linh pada minit ke-51, Nguyen Quang Hai (minit ke-62), Nguyen Cong Phuong (minit ke-67) dan Vu Van Thanh pada minit ke-74.

Malaysia kini berada di kedudukan keempat dengan berkongsi sembilan mata bersama pasukan di kedudukan ketiga Thailand yang tewas 3-1 kepada UAE dalam satu lagi aksi kumpulan di Stadium Zabeel, Dubai.

Jaringan Caio Canedo Correa pada minit ke-14, Fabio Lima (minit ke-33) dan Mohammad Juma Eid pada penghujung permainan itu menafikan kebangkitan Thailand menerusi gol Suphanat Mueanta pada minit ke-54 sekali gus membantu UAE kekal di kedudukan kedua dengan mengumpul 12 mata.

Sementara itu, kedudukan semasa dalam kumpulan menyaksikan persaingan merebut dua tempat teratas bagi meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 semakin sengit dengan Malaysia kini berdepan tekanan dalam misi wajib menang ke atas Vietnam.

Berdasarkan rekod, skuad kebangsaan di bawah bimbingan Cheng Hoe hanya berjaya mencatat satu keputusan seri dalam empat perlawanan terakhir menentang Vietnam dengan pertemuan terbaharu Malaysia tewas 1-0 dalam aksi kumpulan kempen kelayakan ketika berkunjung ke Hanoi pada Oktober 2019.

“Kita tidak boleh turun menentang Vietnam dengan gaya permainan ketika bertemu UAE, kita kena lebih menyerang daripada bertahan, ia akan lebih memberi peluang kepada jentera serangan untuk bekerja dan cuba menghasilkan impak dalam permainan,” kata Khalid.- Bernama

Suara Sarawak