MESKIPUN kenaikan harga beras sebanyak 40 peratus hanya melibatkan beras putih import, rata-rata pengguna percaya ini tetap membebankan rakyat dan menimbulkan resah di hati pengguna.
Harga beras import di pasaran sekitar bandar raya ini naik mendadak sehingga ada yang mencecah hampir RM60 bagi paket 10 kilogram.
Tinjauan di pasar raya sekitar Kuching, beras Liansin jenama Royal Chrysanthemum pula kini dijual RM55.50, manakala beras wangi jenama Happy Rice Thai Royal Fragrant pula naik sehingga RM57.99 bagi berat yang sama.
Malah, tinjauan mendapati orang ramai mengambil kesempatan membeli beras tempatan dalam kuantiti banyak yang dijual di pasar raya pada harga istimewa RM27.90 bagi paket 10 kilogram.
Bagaimanapun, jika dilihat pada sudut positif kenaikan harga beras putih import memberi manfaat kepada industri padi dan beras negara kerana ia mendorong peningkatan permintaaan pengguna kepada beras putih tempatan.
KENAIKAN
Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood menerusi satu kenyataan berkata, kenaikan harga beras putih import di seluruh negara membantu meningkatkan permintaan beras tempatan.
Ia susulan, penyelarasan harga yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas), menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.
Menurut beliau, apabila harga beras putih import melonjak daripada RM33 kepada RM39, ia menjadi fenomena, semua orang akan mencari beras tempatan.
Dahulu katanya sekitar 2021, beras tempatan tiada pemintaan.
Ada yang mencari beras import sebab harga tidak jauh berbeza, sekarang (beza) RM26 dengan RM39. Semua akan fokus kepada beras tempatan terutama peniaga.
Justeru, Datuk Azman memberitahu Bernas menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Faktor luaran seperti iklim yang tidak menentu dan kadar pertukaran mata wang yang lemah, secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global ditambah dengan kesan larangan pengeksportan beras putih diumumkan India baru-baru ini.
Dengan mengambil kira perkembangan itu, Azman berkata, langkah perlu diambil bagi meningkatkan pengeluaran beras putih tempatan sekali gus menampung keperluan pengguna dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
BEKALAN
Dalam pada itu, jelas beliau lagi tahap sara diri (SSL) bekalan beras negara yang kini berada di paras 62 peratus sedikit membimbangkan kerana ia terdedah kepada gangguan bekalan sekiranya berlaku perkara yang boleh menjejaskan bekalan beras import.
Datuk Azman berharap bekalan beras tidak berada di bawah paras 60 peratus (SSL).
Ini kerana, jika bawah paras itu, ia membimbangkan kerana dengan cuaca dunia yang tidak menentu, bimbang sekatan dilakukan negara luar untuk tidak membenarkan beras dieksport dan itu memberi kesan kepada rakyat Malaysia jelasnya lagi.
Dalam pada itu, kata Datuk Azman rakyat Malaysia makan nasi purata 80 kilogram setahun, tetapi jangan lupa kita juga ada warga asing yang purata makan 120kg setiap orang.
Oleh itu, katanya penggunaan beras lebih kurang 200,000 tan metrik setiap bulan.
PENGELUARAN
Beliau akui tiada pilihan dan kena berusaha meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.
Menurut Azman lagi, kerajaan mengambil langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
Antaranya dengan meminta pengilang padi zon utara meningkatkan pengeluaran 20 peratus dan memberikannya kepada kerajaan melalui Bernas.
Ini katanya, supaya tambahan 20 peratus itu memang betulbetul berada dalam pasaran iaitu lebih kurang 423,000 tan metrik setahun.
Anggaran tahun ini ujarnya, negara boleh keluarkan dalam 23 juta kampit 10kg atau 47 juta kampit 5kg.
Beliau berkata, langkah tersebut bagaimanapun hanya bersifat sementara dan penyelesaian serta pembaharuan bagi meningkatkan produktiviti padi dan beras negara secara berkekalan diusahakan.
Sementara itu, Kerajaan Sarawak menyasar pencapai tahap sara diri padi (SSL) sebanyak 60 peratus menjelang 2030 bagi menjamin keterjaminan makanan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pada masa ini, SSL beras berada pada tahap rendah iaitu 34 peratus berbanding 42 peratus pada 2020.
Katanya, dalam usaha meningkatkan SSL, kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membangun dan menambah baik infrastruktur pertanian meningkatkan kapasiti pengeluaran kawasan padi.
Justeru, kata beliau usaha membangunkan lebih banyak kawasan penanaman padi dengan infrastruktur ladang tertiari ialah prasyarat memastikan pengeluaran beras meningkat.
Rundi memberitahu, di bawah kementeriannya, terdapat cadangan pembiayaan tambahan untuk menaik taraf beberapa skim JPS sedia ada di seluruh Sarawak yang usang kepada infrastruktur tertiari di bawah Kajian Separuh Penggal (MTR) bagi Rancangan Malaysia Ke-12.