Kenaikan harga minyak: Protes di Ecuador memuncak

MACHACHI: Pertembungan berlaku antara pasukan keselamatan Ecuador dan penunjuk perasaan pada Isnin ketika mereka berarak ke ibu negara untuk membantah kenaikan harga bahan api.

Sementara itu, kerajaan mengumumkan tiga kemudahan minyak dirampas, yang mengurangkan pengeluarannya sebanyak 12 peratus.

Polis rusuhan dan tentera menggunakan gas pemedih mata dalam cubaan untuk menyuraikan pemprotes yang berarak di bandar Machachi di pinggir bandar Quito jalan disekat dengan membakar tayar menjelang protes pada Rabu.

“Lebih 20,000 orang asli tiba di Quito,” kata Jaime Vargas, ketua penaung pertubuhan orang asli Conaie.

Pada tahun 2000, Conaie menjadi penggerak utama menjatuhkan presiden ketika itu Jamil Mahuad semasa krisis ekonomi lain.

Pertempuran antara pemprotes dengan pasukan keselamatan berlaku ketika Kementerian Tenaga Ecuador mengumumkan bahawa aktiviti di tiga lapangan minyak di wilayah Amazon digantung disebabkan rampasan di kemudahan tersebut oleh kumpulan di luar operasi.

Keadaan itu menjejaskan 12 peratus pengeluaran minyak negara, atau 63,250 tong minyak mentah sehari, kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang tidak menyebut kumpulan yang bertanggungjawab.

Melalui ucapan disiarkan di radio, Presiden Lenin Moreno menuduh presiden terdahulu, bekas sekutu Rafael Correa dan Presiden Venezuela Nicolas Maduro.

Menurutnya mereka mempergunakan beberapa kumpulan orang asli, mengambil kesempatan pengerahan itu untuk melakukan rampasan dan kemusnahan di bandar tersebut.

Demosntrasi berlaku sebagai tindak balas terhadap kenaikan sehingga 120 peratus harga bahan api, yang berkuat kuasa pada Khamis. Kerajaan membiayai AS$1.3 bilion (RM4.5 bilion) setahun untuk subsidi.

Perjanjian IMF ditandatangani pada Mac, membenarkan Ecuador meminjam AS$4.2 bilion (RM12.6 bilion). -AFP

Suara Sarawak