Kenaikan harga minyak sawit mentah pengaruhi pasaran tempatan

KUCHING: Kenaikan harga pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) sejak Ogos tahun lalu seterusnya memuncak melebihi RM3,000 per tan matrik pada bulan Disember 2020 telah memberi tekanan harga minyak masak dalam pasaran tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan harga CPO di pasaran dunia telah meningkat setiap bulan sejak Jun tahun lalu berikutan peningkatan permintaan, kenaikan harga minyak masak lain dan perubahan iklim.
“Situasi ini telah memberi implikasi kepada harga minyak masak tidak bersubsidi kecuali minyak masak pek polibeg satu kilogram (kg) yang dijual pada harga RM2.50 kerana disubsidi kerajaan.
“Ini kerana harga minyak masak tidak bersubsidi yang dijual dalam botol berat dua hingga lima kg bergantung kepada CPO.
“Selain itu harganya ditentukan berdasarkan jenama, permintaan dan bekalan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke kilang pembungkusan minyak masak di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli Parlimen Kapit itu menjelaskan bahawa harga minyak masak yang menjadi rungutan pengguna sekarang ini adalah setengah jenama yang dijual pada kadar RM30 tidak bersubsidi lima kg.
“Bagaimanapun, tidak semua minyak masak berkenaan dijual pada harga itu berdasarkan laporan penguat kuasa negeri-negeri dan Bahagian Harga Barang Negara.
“Contohnya minyak masak jenama A dijual pada harga RM28.90, jenama B berharga RM24.90, manakala jenama C terutamanya jenama tempatan milik pasar raya dijual pada kadar yang rendah iaitu RM21.90.
“Justeru itu, saya mencadangkan para pengguna untuk membuat perbandingan harga sebelum membeli,” katanya.
Beliau menasihatkan pengguna untuk tidak mementingkan pada jenama, tetapi mementingkan kualiti dan nilai kepada wang serta membeli produk tempatan yang menawarkan kualiti setanding tetapi pada harga murah.