KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak hari ini telah melaksanakan Majlis penyerahan terima tugas membabitkan empat pegawai kanan agensi berkenaan dan dua Pengerusi Perkep Daerah Kontinjen Sarawak.
Majlis penyerahan terima tugas itu dilaksanakan di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini yang disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.
Bagi penyerahan terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak, ia melibatkan penyerahan daripada Deputi Komisioner Polis Gilbert Phillip Layang kepada Asisten Komisioner James Jonathan.
Gilbert akan berpindah ke Bukit Aman dan menjawat jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman.

Sementara, penyerahan terima tugas bagi Superintendan Pentadbiran Jabatan melibatkan penyerahan daripada Asisten Komisioner James Jonathan dan Superintendan Sudirman Kram.
Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan yang dijawat oleh Sudirman sebelum ini diserahkan kepada Deputi Superintendan Brodie Brangka.
Manakala, jawatan Ketua Polis Daerah Sri Aman diserahkan kepada Ketua Bahagian Pengurusan Daerah (KBPD) Asisten Superintendan Mass Nur Haslinda berikutan Superintendan Boniface Bajai berpindah ke Jabatan Pengurusan Bukit Aman (Bahagian Dasar Sumber Manusia).
Majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan jawatan Pengerusi Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kota Samarahan antara Dayang Zainab Abang Mahmud dan Kepah Ugak dan Penyerahan Pengerusi Perkep IPD Sri Aman antara Tayie Ankus dan Theresa @ Sanggau Giang.

Penyerahan disaksikan oleh Pengerusi Perkep Sarawak Datin Nassariah Mohd Nassir.
Mohd Azman dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah atas kenaikkan pangkat dan pertukaran pegawai kanan polis.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Gilbert dan Boniface atas jasa bakti dan perkhidmatan mereka di Kontinjen Sarawak.
Majlis turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Sarawak DCP Datuk Mancha Ata dan Naib Pengerusi Perkep Sarawak Datin Jennita William serta pegawai kanan polis Kontinjen Sarawak.