
BAU: Keputusan dari setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dun Serembu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) dianalisis bagi mengenal pasti trend pengundi.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miro Simuh berkata, analisis tersebut penting sebagai persiapan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Puncak Borneo menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Katanya, analisis tersebut akan mengambil kira corak undi membabitkan pengundi muda serta individu yang pertama kali turun mengundi.
“Jumlah pengundi antara umur 18 hingga 21 tahun bukan jumlah yang besar, tetapi mereka belum mendaftar ini yang sebenarnya ramai.
“Lingkungan umur antara 25 hingga 50 tahun ini adalah jumlah besar yang belum mendaftar sebelum ini dan kita tidak tahu corak mengundi mereka.
“Justeru, kita perlu adakan analisis selepas ini berdasarkan keputusan dari PDM dan analisis ini adalah penting untuk kita berhadapan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program dialog PIBG SK Serembu bersama-sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, di sini hari ini.
Program turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Azmi Bujang, Calon GPS Puncak Borneo Datuk Willie Mongin dan hadirin yang lain.