Kenali Belum dan Dakan

KAEDAH menggunakan boneka yang dikenali sebagai Belum mengikut dialek kaum Melanau Dalat dan Dakan bagi penduduk Mukah sangat penting untuk tujuan perubatan pelbagai jenis penyakit.

Dakan berperanan penting dalam upacara perubatan tradisional ketika dahulu dan masih diamalkan bagi komuniti Melanau Pagan (belum memiliki agama) sekarang.

Bagaimanapun, setiap satu daripadanya mempunyai corak ukiran berbeza dan mempunyai peranan tersendiri.

Dakan atau Belum sejenis patung yang diperbuat daripada dahan pokok rumbia yang diukir dengan menggunakan pisau Kayan.

Ia menggunakan isi rumbia yang dikenali sebagai betok balau.

Malah ada yang menggunakan kulit rumbia untuk mengukir patung tersebut.

Menurut Tommy Black, Pengusaha Muzium Sapan Puloh di Kampung Tellian Tengah Mukah, penggunaan patung dianggap perantara yang memindahkan penyakit seseorang.

“Namun ia mempunyai unsur mistik. Misalnya jika ada kanak-kanak yang sakit perut, individu yang digelar Petran Lebai akan mengukir boneka khas untuk sakit perut.

“Mereka juga mengunyah sirih untuk diletak di perut pesakit termasuk menyebut nama pesakit,” katanya.

Petran Lebai kemudian akan membaca jampi atau ‘menyumbar’ – ia dipercayai mampu mengubati kesakitan.

Kini katanya, pengedaran zaman sedikit sebanyak melenyapkan rawatan tradisional ini lebih-lebih kebanyakan kaum Melanau berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing seperti Islam dan Kristian.

“Banyak adat lama ditinggalkan kerana melanggar pegangan agama yang dianuti sekarang,”jelasnya.

Terdapat seorang pengukir Dakan yang berasal dari Kampung Muara Sungai Ud, Dalat Dalat yang bernama Ya Galau.

Beliau dipercayai mengukir patung dakan untuk dipamerkan di muzium di sekitar Sarawak.

Ya di Dalat manakala Petran Lebai di Kampung Tellian Ulu merupakan pengukir Dakan terkenal dan memperoleh ilmu perubatan kaum Melanau ketika berusia 12 tahun.

Kedua-duanya dipercayai mempelajarinya daripada datuk mereka yang merupakan pakar perubatan tradisional sekitar 100 tahun lepas.

Kini umur Ya mencecah lebih 76 tahun manakala Petran Lebai meninggal dunia awal 1990-an.

Dakan atau Belum mempunyai pelbagai saiz malah ada banyak jenis, rupa bentuk dan nama yang tersendiri.

Antara nama yang diketahui seperti Dakan Sebulang Langit, Jakau Nerading, Belagan Siau, Balun Belaga, Naga Pemalei atau Naga Pekulieng, Bu’aw Tow, Pulum, Duhig Balow, Belalangan Yang, Naga Sebalun, Naga Semalayang, Naga Pesilieng dan banyak lagi. Dakan Buau @ Bu’aw dijadikan sebagai penjaga rumah, Dakan Duhig Yang dipercayai ubat pening kepala.

Manakala Dakan Jin Betapa pula dijadikan untuk mengubati penyakit sakit badan seseorang pesakit itu. Selain itu, Sebulang Langit digunakan untuk mengubati sakit kepala.

Naga Pesileing @ Naga Terbang yang berumur beratus tahun pula dijadikan khazanah yang melambangkan suku kaum Melanau di Muzium Sapan Puloh.

Suara Sarawak