ARTIKEL

Kenanga kekalkan saranan wajaran tinggi bagi sektor telekomunikasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap sektor telekomunikasi dari segi perolehan hasil lebih stabil dan menyifatkan pengenalan pelan Rahmah sebelum ini memberi impak kecil terhadap pendapatan dan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU).

Dalam nota penyelidikannya semalam, Kenanga juga optimis secara berhati-hati bahawa perolehan hasil dan dividen sektor itu akan kekal stabil selepas pengenalan model dwirangkaian generasi kelima atau 5G.

“Bagi konteks lebih meluas, kami percaya bahawa tekanan harga kawal selia ke atas perkhidmatan syarikat telekomunikasi (telco) itu kekal kecil pada masa ini.

“Ini berikutan pelan diskaun bagi golongan sasaran yang kecil dilihat masih mampu diurus pada masa ini,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata ini termasuk pakej Rahmah untuk pekerja p-hailing yang membolehkan mereka melanggan pakej data khas serendah RM33 dengan kuota data sekurang-kurangnya 40 gigabit (GB).

“Pelan Rahmah baharu itu ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi dengan kerjasama 16 penyedia platform p-hailing yang mengambil bahagian,” katanya.

Selain itu, Kenanga berkata dalam senario terburuk sekali pun, adalah dianggarkan bahawa CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd masing-masing mampu mencatat RM53 juta dan RM15.8 juta bagi tahun kewangan 2024.

Baca lain  Bursa Malaysia dibuka tinggi, minat belian muncul kembali

“Ini boleh diterjemah kepada kesan pendapatan tidak ketara (kurang daripada 0.5 peratus) bagi kedua-dua pemain untuk tahun kewangan 2024 berkenaan,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata pemerhatiannya menunjukkan pakej Rahmah sebelum ini tidak memberi impak terhadap ARPU bagi Celcom, Digi dan Maxis.

Malah, katanya ini dipaparkan menerusi ARPU gabungan secara berterusan yang berdaya tahan dalam tempoh sembilan bulan bagi 2023 untuk tiga telco itu.

“Biarpun terdapat kelemahan dalam ARPU pascabayar CelcomDigi bagi tempoh terbabit, ini sebaliknya disumbangkan oleh kadar saling hubung dan daya tarikan yang perlahan untuk tawaran permintaan.

“Tambahan pula, mengikut penggiat telco di bawah liputan kami, jumlah jualan bagi pakej Rahmah adalah sedikit berbanding jumlah asas pelanggan mereka iaitu 32 juta (CelcomDigi) dan 12 juta bagi Maxi),” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU