Kenderaan musnah terbakar di Bukit Marup Engkilili

ENGKILILI: Sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda musnah terbakar di Jalan Bukit Marup Engkilili di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun berkenaan sedang dalam perjalanan dari Sri Aman ke Saratok.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan kecemasan jam 10.23 pagi.

Jurucakap BBP Sri Aman, PBK II (KUP) Freddy anak John (Penyelia) memberitahu setibanya pihak bomba ditempat kejadian mereka mendapati memang benar berlakunya kebakaran kereta jenis Toyota Hilux berwarna putih.

“Kenderaan tersebut telah hangus terbakar seratus peratus dengan api yang sedang marak tengah dipadam oleh unit ERT pihak Naim Gamuda menggunakan air dari sebuah lori tangki air milik pihak Naim Gamuda.

“Hasil maklumat daripada pemandu kenderaan yang terbakar iaitu Mohd. Hafifi Hafiz, api dikatakan kelihatan bermula dari bahagian belakang kenderaan tersebut dan marak semasa beliau masih memandu.

” Pemandu itu memberhentikan kereta dibahu jalan dan cuba memadam api tersebut dengan menggunakan satu alat pemadam api jenis debu kering 1 kilogram tetapi tidak berjaya kerana api marak dengan cepat,”ujarnya.

Terangnya lagi, pihak bomba seterusnya membuat ‘size-up’ berpandukan konsep RECEO dan menggunakan alat pelindung diri (PPE) lengkap dan diikuti dengan operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan satu aliran salur bantu air dari pam jentera sehingga api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.

“Setelah selesai proses ‘overhaul’ dan pengambilan maklumat, anggota seterusnya memasang sawar-sawar di tempat kejadian.Operasi tamat jam 11:50. Setelah didapati keadaan selamat,jentera bersama anggota berangkat balik ke balai.

“Pemandu kenderaan berusia 34 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut,” jelasnya.