Kenyalang Skydive julang nama Sarawak

SARIKEI: “Bukan sekadar penyertaan tetapi kami bangga membawa nama Sarawak ke peringkat antarabangsa.” Itu kata Presiden Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang Sarikei Kasim@Ahmad Drahim ketika mengulas mengenai penglibatan lima anggota kelab itu dalam Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019.

Menurut Kasim, kejohanan yang berlangsung di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz pada 14 hingga 22 Disember itu menyaksikan hampir 100 peserta tempatan dan antarabangsa.

Malah katanya, program peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan di Perak itu membabitkan lebih 40 peserta dari Indonesia, Australia dan Korea, termasuk sembilan daripadanya penerjun wanita.

“Sarawak pula diwakili enam anggota Kelab Skydive Kenyalang Sarikei. Selain saya sendiri selaku ketua penerjun, empat lagi yang lain ialah Abang Supian Abang Zulkifli, Jacob Rados, Eddy Sengalang dan Tait Janting.

“Kami juga dibantu Alwie Ahmad sebagai pengurus pasukan, Hamran Badong (pentadbiran), Selip Ambun (rigger), Karono Tisen (jurulatih) dan Japar Abas (penolong jurulatih,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, pengalaman beraksi bersama-sama penerjun bertaraf dunia dalam acara berkenaan ternyata memberi seribu makna buat pasukannya.

Malah katanya, mereka berpeluang menimba banyak ilmu baharu yang boleh dimanfaatkan untuk menarik penyertaan anak muda Sarawak dalam sukan terbabit.

“Perasan gementar itu biasa. Sebaliknya kami lebih teruja untuk melakukan terjunan. “Sepanjang kejohanan, anggota pasukan memberi komiten padu dan kami melakukan yang terbaik demi Sarawak,” katanya lagi.

Sebelum ini, anggota Kenyalang Skydive pernah menyertai acara yang sama di beberapa kejohanan antarabangsa. Antaranya, cabaran terjun Terengganu 2017, kejohanan terjunan Manado, Sulawesi Indonesia dan Sibu Base Jump.

Mengulas lanjut mengenai kelab Kasim berkata, penubuhannya bertujuan menggalak dan mempromosi sukan itu mengikut garis panduan, berintegriti, berilmiah serta bermanfaat, sekaligus merancakkan lagi atmosfera sukan ekstrem di Sarawak.

“Sukan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Justeru, saya berharap kelab ini mampu menarik minat orang ramai, terutama golongan muda, sekali gus mampu membendung daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.

“Kelab ini sebenarnya ditubuh untuk membantu Kerajaan Sarawak. Kami mampu membantu menjimatkan kos penganjuran sekiranya memerlukan penerjun untuk program besar.

“Malah melalui kelab ini juga, kami boleh memperkembangkan potensi ke serata negeri dan negara. Apa yang saya harap ialah sokongan Kerajaan Sarawak, kerana kami masih belum mempunyai aksesori yang mencukupi. “Saya berharap pihak yang berkaitan dapat membantu agar kami dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti,” tambahnya.