Kenyataan berunsur fitnah: Abdullah buat laporan polis

SIBU: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur fitnah yang disiarkan melalui laman sosial Facebook.

Laporan dibuat oleh ADUN N.42 Semop itu di Balai Polis Sentral Sibu, petang semalam.

Abdullah ketika dihubungi mengesahkan tentang laporan berkenaan sambil menyifatkan catatan oleh satu akaun Facebook yang disyaki palsu itu berniat jahat, tidak berasas dan melampau.

“Saya jarang menghiraukan serangan – serangan yang bermotifkan politik ini. Malah, saya amat menghargai sebarang kritikan atau teguran kerana beranggapan ia sebagai maklum balas yang membina.

“Tetapi serangan yang bersifat peribadi serta fitnah yang melampau terutama oleh pemilik akaun FB yang mengguna identiti palsu tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa sebarang tindakan. Ini kerana, kenyataan yang sedemikian boleh mencalar atau membunuh maruah serta kredibiliti seseorang.

“Turut terpalit dengan cemuhan yang tidak bertanggjawab ini ialah maruah ahli keluarga dan ibubapa saya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Catatan akaun itu ditulis ; ‘Pemunya tanah di tapak pembinaan jambatan Batang Paloh dan Batang Lassa dapat pampasan tapi jalan Sedi-Sebako Yb nak penduduk tak payah ambik pampasan. Pelik tak pelik.’

Pemilik akaun itu juga menyertakan gambar papan tanda projek Jalan Sedi- Sebako.

Sehubungan itu, beliau berkata, budaya politik jijik seperti itu tidak harus menjadi amalan masyarakat yang bermaruah dan matang.

“Tindakan saya adalah atas prinsip berani kerana benar.

Laporan polis ini dibuat terhadap FB yang disyaki palsu dan mereka yang bersubahat. Saya juga menganggap mereka yang berkongsi fitnah tersebut juga bersubahat.

“Malah, saya bersedia untuk disiasat dan tidak keberatan memberi kerjasama sepenuhnya jika ada aduan salah lalu terhadap saya.

“Tetapi menabur fitnah dan cubaan untuk menimbul buruk-sangka terhadap saya tanpa ada usaha untuk mendapat penjelasan atau tanpa bukti yang kukuh adalah perbuatan mereka yang berjiwa dan berakal jahat.

“Jika benar berlaku atau mengesyaki salah laku atau perbuatan bersifat jenayah, sila buat laporan terus kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan seperti PDRM, SPRM atau ke Unit Integriti Negeri di mana ada seorang Pegawai SPRM ditempatkan di situ,” katanya.

Beliau berkata, sebarang laporan boleh dikemukakan secara terus apatah lagi Sarawak adalah negeri pertama menubuh Unit Integriti di Pejabat Ketua Menteri seperti yang disarankan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia, Latheefa Koya.

“Kerajaan PH juga berjanji memperkasakan ‘Rule of Law’, keletusan dan anti rasuah. Sebagai seorang warganegara, saya berpegang teguh kepada keluhuran perlembagaan dan undang-undang.

“Malah, saya menyokong penuh agenda ini dan saya yakin kepimpinan PDRM dan SPRM akan bertindak secara adil tanpa batasan atau tekanan politik. Saya percaya, bukan hanya warga Malaysia sedang menilai dan memerhati integriti sistem perundangan dan penguatkuasaan negara kita tetapi juga dunia,” tegasnya.

Suara Sarawak