Kenyataan Guan Eng tidak bertanggungjawab, palsu dan fitnah – Talib Zulpilip

BINTULU: Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsmen) Datuk Haji Talib Zulpilip menyifatkan kenyataan Lim Guang Eng bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun sebagai tidak bertanggung jawab, palsu dan berunsur fitnah.

Katanya, adalah amat memeranjatkan apabila seorang Menteri Kewangan membuat kenyataan yang tidak berasas seperti itu.

Beliau yang juga ADUN Jepak menyatakan kedudukan kewangan negeri Sarawak di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) jauh lebih kukuh jika dibandingkan dengan Pulau Pinang.

Pada masa yang sama, Talib mempersoalkan sama ada Menteri Kewangan tersebut menyedari akan perkara itu.

‘Mengapa pula Lim Guan Eng melulu membabi buta mengeluarkan kenyataan?

Tidak ada orang Sarawak pula datang ke Pulau Pinang untuk memalukan orang Pulau Pinang .

Nampak dan jelas perbuatan Lim Guan Eng ini berniat jahat, katanya kepada Suara Sarawak.

Malah, tegas beliau, kenyataan Setiausaha Agung DAP itu mengundang ketakutan dan kebimbangan di kalangan pelabur sekali gus menjejaskan ekonomi bukan sahaja negeri ini, tetapi Malaysia.

Tambahnya lagi, sebagai seorang Menteri Kewangan yang waras dan bertanggung jawab tidak harus berbuat demikian.

‘Beliau (LGE) telah banyak membuat kenyataan tidak bertanggung jawab seperti ini dan kesannya ekonomi Malaysia telah merudum, harga barang naik, pelaburan berkurangan, jumlah pengangguran meningkat dan sebagainya.

Kalau datang ke Sarawak nak berbohong, kerja kerja paloi, menghina orang Sarawak lebih baik tak payah datang, kata Talib lagi.

Menteri Kewangan itu ketika menghadiri majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di Kuching, Jumaat berkata Sarawak mungkin akan muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurutnya, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, Rizab RM30 bilion Sarawak akan habis dalam masa tiga tahun.

Beliau turut berkata Sarawak mungkin mengalami nasib seperti Kelantan, yang menyaksikan kerajaan negeri berkenaan tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran yang lemah.