KUCHING: Kenyataan Setiausaha PKR Sarawak, Joshua Jabeng berhubung “tiada seinci tanah hak adat bumiputera (NCR) telah dikembalikan kepada pemilik orang asal” adalah satu pembohongan atau sama sekali mengelirukan.
Timbalan Speaker Dun Sarawak, Datuk Gerawat Gala berkata, kerajaan telah mengiktiraf dan telah memberi hak milik tanah NCR kepada pemiliknya.
Kata Gerawat, sepanjang 10 tahun yang lalu, Jabatan Tanah dan Survei telah mengukur 2.44 juta ekar tanah NCR di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Katanya, 1.9 juta ekar telah digazet di bawah Seksyen 6 dan 18,444 surat hak milik telah dikeluarkan kepada individu pemilik tanah NCR selepas pengukuran perimeter dan gazet tanah NCR di bawah Seksyen 6.
“Pengukuran dan gazet tanah NCR di bawah Seksyen 6 adalah bukti dokumentasi bahawa tanah tersebut adalah tanah NCR dan bukan tanah kerajaan seperti yang sering didakwa oleh sesetengah pihak.
“Ini diikuti dengan pengukuran tanah NCR individu di kawasan yang telah diukur dan digazet di bawah Seksyen 6 dalam mengeluarkan surat hak milik NCR individu di bawah Seksyen 18,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Gerawat, kerajaan juga mengiktiraf dan telah mengeluarkan surat hak milik tanah untuk kawasan yang dikenali sebagai Pemakai Menoa dan Pulau Galau.
“Ini dibolehkan dengan pindaan kepada Kanun Tanah Sarawak oleh kerajaan melalui klausa baharu 6A dalam kanun tersebut.
“Seksyen 6A baharu ini telah memberi pengiktirafan kepada Pemakai Menoa dan Pulau Galau yang kini dirujuk sebagai domain kawasan peribumi (NTD) sehingga kawasan maksimum 1,000 hektar per penempatan masyarakat asli,” katanya.
Beliau yang juga Adun Mulu berkata, dakwaan Joshua Jabeng berhubung tiada seinci tanah NCR dikembalikan kepada pemilik adalah tidak berasas dan tidak benar.
“Reformasi tanah agraria yang dia katakan adalah naif dan lebih kepada mimpi di siang hari. Kerajaan GPS telah melaksanakan pelbagai program untuk mempromosikan pertanian komersial dan pertanian pintar menggunakan teknologi moden.
“Pemilik tanah NCR telah digalakkan untuk mengusahakan tanah mereka untuk pertanian komersial dan pertanian pintar dengan mengambil manfaat pelbagai bantuan dan program yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Tambah Gerawat, model FELDA di Semenanjung Malaysia atau model Hybrid yang disebut oleh Joshua tidak semesti sesuai dengan situasi di Sarawak.
Beliau memberitahu, ia mungkin menjadi peringatan kepada Joshua bahawa rakyat Sarawak mengingati Pakatan Harapan dengan banyak janji yang buat tetapi banyak yang tidak ditunaikan selepas menjadi kerajaan.
Katanya, bagi Kerajaan GPS, mereka lebih terbuka dan rakyat dapat menilai rekod pencapaian dan prestasi Kerajaan GPS dalam empat tahun pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan pembentukan GPS.