Kenyataan Wong, Rayong tentang jalan pesisir dibidas

KUCHING: Tidak bertanggungjawab.

Itu dua patah perkataan yang digunakan oleh  Menteri Muda Pembangunan Bandar  dan Sumber  Asli Datuk Len Talif Salleh terhadap kenyataan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh dan Ketua Pemudanya Dr Johnical Rayong Ngipa yang mendakwa bahawa Jalan Utama kedua yang dibina di negeri ini adalah ‘pertindihan’.

Len berkata beliau telah menggunakan jalan pesisir untuk beberapa tahun setiap minggu.

“Saya tahu dengan pasti apa yang berlaku di kawasan terbabit,” katanya.

Menurut Len yang juga wakil rakyat dari  kawasan pesisir, Belawai, Wong dan Rayong, beliau percaya jarang menggunakan jalan pesisir, tidak faham akan demografi dan aktiviti ekonomi sepanjang kawasan projek berkenaan.

“Jadi untuk mengeluarkan kenyataan  membantah pembinaan jalan berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan tanpa mempunyai rasa prihatin terhadap kepentingan penduduk pesisiran dan luar bandar,” katanya.

Beliau secara khsusu membidas kenyataan Rayong yang mendakwa jalan berkenaan melalui kawasan tanpa penduduk dan Taman Negara Maludam.

“Sebenarnya, bahagian jalan di antara Taman Negara Maludam dan Triso adalah menggunakan penjajaran sedia ada tanpa melalui Taman Negara Maludam,” jelasnya.

Bagi laluan dari Sabuyau ke Jambatan Batang Sadong, katanya, ia menyediakan akses ke Taman Negara Sebuyau, justeru menyokong inisiatif kerajaan Negeri dari segi ekopelancongan.

“Jadi tidak benar, ia di kawasan tanpa penduduk,” tegasnya lagi.

“Adalah penting bagi jalan berkenaan untuk melalui Tanah Adat Bumiputera (NCR) dan kawasan ladang yang tidak mudah dihubungi. Inilah cara kerajaan Negeri cuba membangunkan ekonomi luar bandar,” katanya.

Rayong sebelum ini berkata, sejumlah RM6 bilion berupaya disalurkan untuk pembangunan prasarana lain di kawasan luar bandar sekiranya projek Jalan Utama Kedua yang perlu dibangunkan dalam tiga fasa itu dihentikan.

Naib Presiden PSB itu berkata pembinaan Jalan Utama Kedua yang dilaksanakan di bawah pelaksanaan projek kerajaan negeri tersebut tidak akan memberi manfaat kepada  rakyat di kawasan luar bandar.

“Saya cuma memetik kata presiden PSB, dalam kenyataannya berhubung Jalan Utama Kedua iaitu pembinaan Jalan Utama Kedua itu berupaya memberi penjimatan sejumlah RM6 bilion kepada Sarawak.

“Dan ia merupakan kos yang besar yang sejujurnya boleh disalurkan untuk kegunaan perkara lain seperti pembinaan lebih banyak projek pembangunan lain di kawasan luar bandar.

“Sekali lagi saya memetik kenyataan beliau: ‘Kita mempunyai penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak yang masih belum mempunyai bekalan air dan elektrik,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya beberapa hari lalu, menjawab kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan.

Suara Sarawak