Kepatuhan rakyat terhadap SOP kunci utama bendung COVID-19 – Dr Noor Hisham

KOTA BHARU: Kepatuhan semua rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) adalah kunci utama dalam membendung penularan COVID-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata apa yang penting bukanlah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat tetapi kepatuhan kepada SOP.

“Sekiranya tiada urusan penting, duduk di rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) dekat sini semalam.

Beliau mengakui terdapat kelonggaran syarat dalam pelaksanaan PKP kali ini berbanding pada Mac tahun lepas dan berharap rakyat dapat memainkan peranan dalam usaha mengurangkan jangkitan COVID-19.

“Kita faham ada kelonggaran sebab kita kena lihat kepada kesihatan dan juga ekonomi. Jadi kedua-dua faktor ini perlu keseimbangan. Itu yang penting supaya kita boleh kawal kes dan juga menjalankan ekonomi,” katanya.

Ditanya kemungkinan PKP disambung selepas 4 Feb ini, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan hanya memberikan nasihat dan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan sewajarnya.

“Jadi untuk mendapatkan kata putus, kita akan berbincang semula dengan melihat kepada tindakan yang sesuai. Sekarang ini kita lihat Selangor catat kes harian yang tinggi. Jadi adakah kita akan bersasar ke Selangor sahaja, maka kita akan bincang dalam MKN,” katanya.

Mengulas lawatannya ke Kelantan, beliau berkata fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit COVID-19 di negeri itu masih mempunyai keupayaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik namun aspek sumber manusia dan peralatan perubatan perlu dipertingkat.

“Setakat ini, kita masih belum lagi untuk meningkatkan PKRC memandangkan sekarang ini kita tengok PKRC di PUTIK ini pun tak penuh lagi dan masih ada keupayaan tetapi jika perlu, kita boleh tingkatkan lagi di daerah lain.

“Kita ada ruang contohnya di Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai, masih ada lima unit rawatan rapi yang kosong. Jadi apa yang kita perlukan ialah peralatan dan juga kepakaran serta jururawat terlatih untuk ditempatkan di situ,” katanya.

 

Suara Sarawak