Kepayahan hidup Mazura dapat perhatian

KUCHING: Prihatin dengan nasib yang menimpa Mazura Othman dan keluarga, Persatuan Kebajikan Hope Place Kuching tampil membantu dan mengunjungi kediamannya, baru-baru ini.

Mazura, 53, tinggal di Taman Desa Sejijak, Matang bersama-sama suami, dua anak perempuan dan tiga cucu.  Dia mengalami masalah kegagalan buah pinggang sehingga menyebabkan berlaku masalah pada saraf tunjang.  Kini, Mazura tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan dan hanya terbaring di katil.

“Kami keluarga yang biasa dan saya memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebagai pekerja kilang.  “Meskipun kami menjalani kehidupan yang sederhana, namun kami tetap gembira. Tetapi, keluarga saya menjadi hura-hara setelah saya mengalami masalah kegagalan buah pinggang yang mempengaruhi saraf tunjang saya,” katanya.

Mazura juga diuji apabila anaknya yang berusia 20 tahun mengalami kecacatan pendengaran.  Lebih menyedihkan, anak sulungnya menghilangkan diri dan meninggalkan tiga anak berusia empat hingga sembilan tahun dengannya.

Menurut Mazura, segala tugasan di rumah diambil oleh anaknya yang berusia 25 tahun. Tambahnya, suaminya yang bekerja sebagai tukang kebun kilang, dengan pendapatan yang kecil merupakan satu-satunya sumber pendapatan untuk seisi keluarga.

Oleh kerana kos perubatan Mazura melibatkan perbelanjaan yang tinggi, keluarga itu terus berusaha bertahan meskipun pendapatan suaminya tidak besar.

Dengan itu, Hope Place menyumbangkan bekalan lampin dewasa dan bantuan makanan asas. Mazura turut menerima tajaan daripada Baitulmal untuk katil perubatan dan bantuan kewangan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250.

Dalam pada itu, Hope Place menzahirkan rasa syukur kerana terdapat beberapa sumbangan makanan tambahan daripada penderma lain diagihkan kepada keluarga Mazura khususnya ketika Ramadan ini.

Orang ramai yang ingin menyumbang dan turut sama membantu boleh menghubungi Persatuan Kebajikan Hope Place Kuching di talian 082-505987.

Suara Sarawak